
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, PKR sebagai parti terbesar dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) akan menyebabkan PPBM “tenggelam” di Sarawak kerana komuniti Dayak dilihat lebih menyokong PKR dan DAP.
Beliau menambah ia akan menjadi cabaran kepada PPBM untuk mengembangkan pengaruhnya di negeri itu kerana DAP dan PKR sudah berada di sana sekian lama.
“DAP dan PKR dijangka tidak mudah menyerahkan kerusi mereka kepada PPBM, yang dianggap baru di Sarawak dan tidak mungkin menang dalam pilihan raya negeri,” katanya kepada FMT.
Beliau menambah Amanah dilihat bersaing dengan PAS, yang akan menjadikannya sukar untuk menang dalam pilihan raya negeri.
Jika PPBM mahu mengukuhkan kedudukannya di Sarawak, katanya, ia patut mula lebih agresif di peringkat akar umbi dengan menangani isu tempatan.
Seorang lagi penganalisis dari Universiti Malaysia Sabah, Lee Kuok Tiung bersetuju pengaturan kerusi dalam pilihan raya negeri akan datang bergantung kepada siapa yang berkuasa di peringkat persekutuan.
“Jika Mahathir masih perdana menteri, maka PPBM akan mempunyai pengaruh yang kuat. Tetapi jika Anwar mengambil alih pada masa itu, perkara itu akan jadi berbeza.”
Beliau menambah, Mahathir sinonim dengan partinya dan tiada siapa yang dilihat mampu memadankan kepimpinan perdana menteri dalam PPBM.
“Nampaknya terdapat jurang antara keupayaan kepimpinannya dan orang kanannya dalam PPBM,” tambahnya.
Lee berkata tidak mungkin PPBM akan menyasarkan kerusi bandar atau kerusi majoriti Cina dalam pilihan raya Sarawak, sambil menambah kerusi Dayak akan menjadi pertaruhan terbaik parti itu.
Beliau juga memberi amaran PPBM akan dibayangi oleh PKR dan DAP jika ia terus kekal tidak berpengaruh di negeri itu.
“DAP juga menyasarkan kerusi Dayak. Walaupun projeknya ‘Impian Sarawak’ gagal memenangi parti itu mana-mana kerusi separa bandar atau luar bandar dalam pilihan raya sebelumnya, tidak bermakna ia menyerah kalah pada kerusi Dayak,” katanya.