Rayuan ditangguh kerana Rosmah cuti sakit

Peguam berkata, Dr Syed Abdul Latiff Alsagoff dalam laporan perubatan ditandatanganinya menasihatkan Rosmah Mansor berehat di katil dan mengelak duduk terlalu lama sehingga simptomnya reda.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Rosmah Mansor hadir pada hari lain untuk mendengar rayuan terhadap perbicaraan rasuahnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi kerana beliau sedang cuti sakit.

Panel 3 hakim yang dipengerusikan Abdul Rahman Sebli berkata, Rosmah sudah menyuarakan hasratnya untuk hadir di mahkamah hari ini.

“Perayu mesti menghadiri pendengaran rayuannya di bawah Aturan 74 (2) Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994,” katanya menolak permohonan pihak pendakwaan untuk rayuan itu didengar tanpa kehadiran Rosmah.

Rahman berkata, Dr Syed Abdul Latiff Alsagoff dalam laporan perubatan yang ditandatanganinya menasihatkan Rosmah berehat di katil dan mengelak duduk untuk jangka panjang sehingga simptomnya reda.

“Kami terpaksa membenarkan penangguhan ini.”

Dua hakim lain adalah Kamardin Hashim dan Harminder Singh Dhaliwal.

Peguam Rosmah, Jagjit Singh memohon rayuan itu ditangguhkan kerana anak guamnya tidak sihat untuk hadir di mahkamah.

Katanya, Rosmah perlu menghadiri prosiding berikutnya berdasarkan Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Jagjit yang dibantu Akbardin Abdul Kader, berkata Rosmah diberikan pengecualian menghadiri prosiding di Mahkamah Tinggi semalam kerana beliau sedang cuti sakit.

Bagaimanapun, pendakwa raya sementara, Gopal Sri Ram berkata Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994 hanya terpakai kepada perayu bagi rayuan jenayah.

Katanya, sijil sakit Rosmah tidak menyatakan beliau dibenarkan tidak hadir ke mahkamah.

“Pendengaran rayuan tidak akan berprasangka terhadap Rosmah dengan ketidakhadirannya,” katanya sambil menambah beliau mendapat arahan tegas daripada pendakwa raya untuk meneruskan kes itu hari ini.

Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes rasuah Rosmah dari Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun, peguamnya berkata, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi lebih kompeten mendengar kes itu kerana mahkamahnya ditugaskan hanya untuk menyelesaikan kes rasuah.

Ketika itu, Jagjit berkata, pihak pendakwaan tidak memberi alasan meyakinkan untuk kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Pada 15 November 2018, Rosmah, 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap 2 pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Pada hari sama, Rizal Mansor, 46, turut mengaku tidak bersalah terhadap 4 pertuduhan bersubahat dan menerima rasuah bagi dirinya dan Rosmah berjumlah RM5.5 juta untuk projek sama.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan untuk membicarakan Rosmah dan Rizal, bekas pegawai khas Najib Razak, secara bersama.

Zaini menetapkan 32 hari untuk perbicaraan bersama itu mulai 3 Februari hingga 30 April tahun depan.