Adakah pembuli jalan patut dipenjarakan?

Ada peguam yang berkata hukuman penjara 12 bulan yang dijatuhkan ke atas pembuli jalan, Danial Tan Abdullah terlalu berat.

PETALING JAYA: Seorang pakar kriminologi menyifatkan hukuman penjara 12 bulan yang dijatuhkan ke atas seorang pembuli jalan kerana menghentak cermin depan sebuah kereta didakwa cuba menghimpitnya sebagai “adil”.

P Sundramoorthy dari Universiti Sains Malaysia merujuk keputusan Majistret, Nurshahira Abdul Salim semalam menjatuhkan hukuman itu ke atas Danial Abdullah Tan, 31, yang mengaku bersalah terhadap perbuatannya.

Katanya, hukuman itu ialah keadilan jenayah yang amat diperlukan di negara ini.

“Majistret dalam kes ini memahami isu pembuli jalan dan kesannya ke atas pengguna jalan raya yang mematuhi undang-undang.

“Sistem keadilan jenayah kita, dalam kes ini, perlu dipuji atas kejelasan tindakan berkaitan pengesanan dan penahanan pelaku, kepastian dalam pendakwaan dan hukuman berat yang dikenakan,” katanya kepada FMT.

Danial didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan topi keledarnya untuk menghentak cermin depan kereta Perodua Axia milik Siew Chean Voon, 58, di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan pada 28 Mei lalu menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM600.

Pembantu stor kilang itu memberitahu mahkamah beliau marah selepas motosikalnya dihimpit dan hampir dilanggar kereta mangsa yang didakwa menunjuk jari kepadanya.

Perbuatannya dirakam mangsa menggunakan kamera “dashcam” dan rakaman itu tersebar di media sosial sejak Rabu lalu.

Sundramoorthy juga tidak bersetuju dengan peguam, Haniff Khatri Abdulla yang dilaporkan berkata, penunggang motosikal itu tidak wajar dipenjarakan, sebaliknya hukuman denda sudah mencukupi.

Katanya, rakyat tidak patut bertolak ansur dengan sebarang bentuk keganasan dan tindakan agresif serta hukuman penjara mandatori perlu dikenakan ke atas semua pesalah ganas.

“Tambahan kepada hukuman penjara, beberapa sebatan rotan juga perlu dikenakan kepada semua pesalah ganas.”

Beliau berharap kes ini akan memberi mesej jelas dan tegas kepada semua pihak, tiada tolak ansur dalam sebarang bentuk tindakan agresif atau keganasan oleh semua pengguna jalan raya, khasnya pembuli jalan.

Katanya, beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah kes pembuli jalan sudah meningkat dan mendapat perhatian orang ramai.

Beliau berkata, pembuli jalan sering menggunakan kata-kata kasar, bertindak agresif dan ganas. Ia akan menyebabkan orang ramai bertindak sendiri untuk menghukum pihak terbabit sehingga mungkin menyebabkan kecederaan parah atau kematian.

“Tambahan, semua pengguna jalan raya, pemandu yang mematuhi undang-undang dan pembuli jalan berpotensi, perlu sedar topi keledar, kayu hoki, pemukul besbol, rotan dan peralatan sukan atau rumah lain boleh menjadi senjata maut jika disalah guna dalam keadaan tertentu.

“Hakikatnya, kebarangkalian penggunaan dan penyimpanan senjata maut dalam kereta hanya meningkatkan peluang kedua-dua pihak (pembuli jalan dan mangsa) bertindak agresif dan ganas apabila berdepan situasi konflik.”

Sundramoorthy berkata, dalam kes ini, majistret menjatuhkan hukuman sesuai seperti yang dibenarkan undang-undang.

Katanya, beliau pasti akan timbul bantahan orang ramai membidas hukuman terlalu ringan, jika majistret hanya mengenakan denda tanpa hukuman penjara dalam kes ini.

Mengenai gesaan baru-baru ini untuk hakim diberikan garis panduan mengenai hukuman, beliau berkata, keperluan mengkaji pelaksanaan garis panduan hukuman bagi kehakiman bertujuan mengelakkan kontroversi mengenai hukuman tidak adil.

Seorang peguam jenayah, Rajsurian Pillai, bagaimana bersetuju dengan Haniff yang denda sudah mencukupi dalam kes kemarahan di jalan raya “jika tertuduh mengaku bersalah dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman denda”.

“Sebaiknya, jangan hantar pesalah ke penjara. Lihat matlamat hukuman.”

Bagaimanapun, katanya, majistret boleh menghantar pembuli jalan ke penjara kerana mereka mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Seorang lagi peguam, Cyrus Tiu Foo Woei, berkata dalam keadaan biasa, mahkamah akan mempertimbangkan faktor memudaratkan dan meringankan hukuman sebelum membuat keputusan.

“Mahkamah mungkin mempertimbangkan hakikat pesalah sudah kesal dengan perbuatannya.

“Sama ada tertuduh mahu membayar kerosakan pada kenderaan dan memohon maaf kepada mangsa atas kerosakan itu akan diambil untuk pertimbangan.”

Beliau berkata, video menghentak cermin kereta itu mencerminkan tertuduh amat ganas.

Katanya, pembuli jalan itu boleh memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi untuk meringankan hukuman.

“Biasanya, bagi pesalah pertama kali yang mengaku bersalah atas kesalahan kecil, majistret atau hakim tidak akan memberi hukuman penjara, tetapi hanya denda.

“Bagaimanapun, jika membabitkan keganasan, hakim mungkin memberi hukuman penjara sebagai satu bentuk pencegahan kepada pihak lain.”