Korea Selatan, AS, Jepun bincang isu nuklear Korea Utara di Singapura

Media melaporkan 3 utusan khas, iaitu Lee Do-hoon dari Korea Selatan, Stephen Biegun (AS) dan Kenji Kanasugi (Jepun) berada di Singapura bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-18, juga dikenali Dialog Shangri-La.

SINGAPURA: Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun mengadakan perbincangan 3 pihak di Singapura pada Jumaat untuk mencari penyelesaian berhubung isu nuklear Korea Utara.

Agensi berita Yonhap melaporkan utusan khas terbabit, iaitu Lee Do-hoon dari Korea Selatan, Stephen Biegun (AS) dan Kenji Kanasugi (Jepun) mengadakan pertemuan tertutup di sebuah hotel, menurut pegawai.

Ketiga-tiga utusan itu kali terakhir bertemu di Washington pada 7 Mac.

Wakil khas terbabit berada di Singapura bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-18, juga dikenali Dialog Shangri-La, menghimpunkan menteri pertahanan dan pegawai peringkat tinggi dari beberapa negara utama.

Bagaimanapun wakil berkenaan enggan menjawab pertanyaan yang diajukan wartawan.

Rundingan mengenai isu nuklear antara Washington dan Pyongyang menemui jalan buntu, selepas kegagalan sidang kemuncak ke-2 antara presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Hanoi Februari lalu.