Pakar: Imbangi perlindungan alam sekitar, hidupan liar dengan ekonomi

Pensyarah kanan UMS, Rafiq Idris. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Sabah perlu terus meningkatkan usaha pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liarnya pada saat ia merancang untuk merangsan pertumbuhan ekonomi kata seorang pensyarah kanan dan pakar ekonomi.

Sewaktu debat sama negeri itu perlu mengutamakan pembangnunan ekonomi ataupun alam sekitar memuncak, Rafi Idris dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, kedua-duanya adalah sama penting.

“Perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan hidupan liar menyumbang kepada ekonomi. Sumber tertentu boleh diambil dengan cara yang tidak merosakkan alam sekitar,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, kumpulan pencinta alam berkata, kerajaan Sabah tidak harus mengkaji semula cadangan mengeluarkan arang baru berdekatan Lembangan Maliau sebagai sumber bahan api janakuasa elektrik di Sandakan.

Ini berikutan pengumuman kerajaan pusat yang membatalkan projek Saluran Gas Trans Sabah bernilai RM4.04 bilion.

Mereka berkata, lombong arang batu memberi kesan negatif ke atas alam sekitar berikutan pemusnahan hutan dan habitat hidupan liar kerana pokok dan tumbuh-tumbuhan serta permukaan tanah terpaksa dibersihkan untuk membuka lombong.

Mereka juga berkata, hakisan tanah dan banjir serta pencemaran debu boleh mengakibatkan masalah pernafasan dalam komuniti yang tinggal berhampiran.

Dari sudut hidupan liar, Sabah masih bersedih atas kematian badan sumbu jantannya yang terakhir 4 hari lepas. Malaysia kini hanya mempunyai seekor badak sumber betina yang hidup dalam kurungan.

Rafiq berkata, keadaan itu patut menjadi pengajaran kepada kerajaan Sabah supaya meningkatkan perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan hidup liarnya kerana ia menyokong industri pelancongan.

Katanya, pertambahan jumlah pelancong bermakna meningkatnya kegiatan perniagaan serta peluang pekerjaan dan juga pelaburan.

“Orang tidak datang ke Sabah untuk membeli-belah. Mereka datang kerana alam semula jadi. Pantai yang cantik, pulau, gunung, air terjun, hutan dan hidupan liar adalah antara tarikan utama.

“Kita boleh mempertahankan pencapaian sektor pelancongan jika kita terus melindungi alam sekitar dan hidupan liar kita.

“Alam sekitar yang baik dan hidupan liar yang dipulihara berpotensi menarik pelabur, malah ahli sains perubatan untuk menjalankan penyelidikan. Kesemua ini akhirnya akan menyumbang kepada kewangan negeri,” katanya.

Berpandukan trend dunia kini yang menekankan perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan hidupan liar, Rafiq berkata, tidak mustahil sekiranya pada masa depan perjanjian perdagangan akan turut memasukkan keperluan itu.

Sebagai contoh kata beliau, Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) memperlihatkan bagaimana negara anggota komited untuk mematuhi peruntukan dalam Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Terancam (CITES).

Beliau tidak menolak kemungkinan sesebuah negara diboikot pada masa akan datang jika ia tidak mematuhi standard atau peraturan antarabangsa tertentu.

“Perlindungan alam sekitar adalah penting bagi mempertahankan pencapaian ekonomi kita sekarang, terutamanya dalam sektor pelancongan.

“Kualiti alam sekitar yang rendah memberi kesan ke atas pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan umum dengan merosakkan kualiti serta kuantiti sumber,” katanya.