‘Sampai masa Syifaa akan tinggalkan ayah’

Tiada siapa yang pinta, kelahiran satu-satunya puteri dalam keluarga Yaakob Abdul Rahim, 40, dan Safia Nasir, 34, menghidapi penyakit “Hydrocephalus” atau lebih dikenali sebagai penyakit berkepala besar.

Puteri yang diberi nama Nur Syifaa Auni, bermaksud cahaya penawar dan kelembutan, kini berusia setahun 1 bulan, menghidapi penyakit itu sejak dalam kandungan lagi di mana kepalanya kini seberat 7kg.

Sememangnya ia tidak stabil dengan badannya yang hanya seberat 3kg, malah Syifaa hanya mempunyai kelopak mata dan tidak mempunyai fizikal yang sempurna dari segi bentuk hidung dan mulut.

Ia pasti memberi kesukaran kepada anak syurga ini untuk menjalani kehidupan yang normal seperti bayi lain sebayanya yang sudah pasti boleh berjalan, makan makanan enak dan bermain.

Namun ia semua berbeza dengan Syifaa yang tidak boleh berdiri, hanya terbaring menampung berat di bahagian kepala sehingga mengalami luka yang terlalu teruk di bahagian kiri dan kanan.

Lebih menyedihkan Syifaa sudah tidak lagi menangis atau kedengaran suaranya sejak 2 bulan lalu dan hanya boleh minum susu melalui saluran wayar yang disediakan.

“Suara Syifaa hilang pada 25 Februari 2019 ketika waktu itu nak cucuk, ambil darah, dia nangis sekejap, dan selepas itu kami tidak lagi mendengar tangisannya, sampai hari ini.

“Jadi saya sekejap-sekejap pasti akan melihat kepada Syifaa sebab kita tak tahu apa yang dia nak, dia tak nangis, tak dengar dah suara langsung, ini yang buat kami bimbang.

“Apa yang saya perasan kadang kala dia akan kejangkan kaki dan menggenggam kedua-dua tangannya yang pada saya mungkin dia menahan sakit,” luah si ayah yang menahan sebak ketika ditemu bual FMT.

Anak syurga ini dilaporkan hanya mampu bertahan antara 2 ke 3 tahun sahaja lagi dan kini ayahnya banyak menghabiskan masa untuk menguruskan anak syurga ini selagi hayatnya masih ada.

“Saya selalu berpesan pada anak-anak saya yang lain, ini puteri ayah, ayah sayang puteri ayah, ayah kena jaga dia lebih, kerana dia istimewa.

“Sampai masa dia akan tinggalkan ayah dan kita semua, hayat dia tak lama,” jelasnya sambil tersenyum pahit dilemparkan pada yang tekun mendengar ceritanya.

Menjelaskan hal itu, Yaakob berkata bagaimanapun tiada rasa dengki dan iri hati oleh adik beradik lain terhadap layanan istimewa yang diberikan kepada Syifaa kerana mereka faham akan situasi yang berlaku.

“Abang-abang dia pun banyak bantu, jaga, boleh suruh itu dan ini, tak pernah tanya saya ‘ayah kenapa kepala adik macam itu?’ tak pernah langsung, sebaliknya mereka sangat membantu saya,” katanya.

Ketika ini Yaakob yang bekerja sebagai penjawat awam di bangunan Parlimen perlu menguruskan secara teliti anak syurganya dan pada masa yang sama perlu memulihkan semangat isterinya yang dilihat begitu lemah menghadapi dugaan yang dihadapi.

“Saya seorang sahaja yang angkat tapi memang berat, kalau sekarang nak bawa ke hospital, saya kena letak atas tilam, keluarkan dia dengan tilam sekali, kurangan pergerakan dia, kepala dia memang sangat berat, mak dia memang tak larat nak angkat.

“Apa yang dia boleh buat, saya nak isteri saya lihat sahaja apa yang saya buat kepada Syifaa dia tengok pun dah memberi semangat kepada saya, jadi saya beri semangat kepada dia, dia pun kena beri semangat kepada saya,” ujarnya lagi.

Meluahkan perasaannya, Yaakob berkata beliau seringkali terasa ingin memeluk dengan erat anak perempuannya itu, namun apakan daya, niatnya terbantut melihat kepada masalah kesihatan yang dialami anak syurga itu.

“Saya ni ayah, memanglah terasa nak peluk anak sendiri, tapi tak boleh,” tambahnya ringkas sambil mencuci luka di bahagian kepala Syifaa.

Kini perbelanjaannya semakin bertambah bagi menampung kos perubatan harian bayi tersebut.

Dalam pada itu Yaakob memberitahu, setakat ini tiada sebarang pembedahan yang boleh dilakukan kepada Syifaa kerana tidak mahu menyeksa bayi tersebut.

Sebaliknya pihak hospital menyarankan untuk memberi keselesaan kepada Syifaa selagi hayat masih ada.

Aidilfitri kali ini adalah syawal ke-2 buat Syifaa bersama keluarga, dan pasti ia memberi memori terindah buat Yaakob sekeluarga.

Dengan hadirnya anak istimewa ini, suatu anugerah yang diamanahkan Allah untuk menjaganya selagi hayat dikandung badan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]