Teka-teki PM baru Thailand dijangka terungkai 5 Jun depan

Jen Prayuth Chan-o-cha, satu-satunya calon perdana menteri dari parti PPRP disebut-sebut secara meluas akan memegang kuasa dengan sekurang-kurang mendapat 376 undi daripada kesemua 499 ahli Parlimen. (Gambar Reuters)

BANGKOK: Teka-teki selama beberapa bulan lepas mengenai siapakah yang akan memegang jawatan perdana menteri yang baru akan terjawab akhir Rabu depan (5 Jun) apabila semua ahli Parlimen (MP) akan bersidang dan mengundi.

Sejumlah 499 daripada 500 anggota Dewan Perwakilan dan 250 senator akan bermesyuarat di Auditorium TOT Plc di Chaeng Wattana Road, bangunan sementara Parlimen memandangkan bangunan Parlimen masih di bawah pembinaan bagi mengundi perdana menteri Thailand yang baru.

Seorang MP tidak dapat hadir pada hari yang bersejarah itu – pemimpin Future Forward Party (FFP) Thanathorn Juangroongruangkit yang digantung sebagai ahli Parlimen oleh Mahkamah Perlembagaan atas dakwaan mempunyai saham haram dalam sebuah syarikat media.

Speaker Parlimen, Chuan Leekpai berkata, beliau akan berunding dengan Speaker Dewan, Pornpetch Wichitcholchai dan kedua-duanya setuju untuk mengadakan mesyuarat bersama pada Rabu depan.

“Pengundian perdana menteri akan diadakan pada 11 pagi (waktu tempatan),” katanya kepada pemberita di sini semalam selepas menerima arahan diraja di hadapan potret Raja Maha Vajiralongkorn pada upacara yang diadakan di bangunan Parlimen yang baru.

Semalam Royal Gazette menerbitkan persetujuan Raja berhubung speaker dan timbalannya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Sementara itu, 3 muka baru MP – FFP Srinual Boonlue yang menang pilihan raya kecil Chiang Mai dan 2 MP – Chitapas Kridakorn dari parti Demokrat dan Watanya Wongopasi dari parti Palang Pracharat (PPRP) akan mengangkat sumpat pada pukul 9.00 pagi (waktu tempatan) pada Rabu depan.

Jumpita Jantarakhajon dari parti FFP, yang tidak hadir semasa majlis angkat sumpah pada minggu lepas akan mengangkat sumpah pada hari yang sama.

Jen Prayuth Chan-o-cha yang menjadi satu-satunya calon perdana menteri dari parti PPRP disebut-sebut secara meluas akan memegang kuasa dengan sekurang-kurang mendapat 376 undi apabila kesemua 499 MP menyertai 250 senator yang dilantik oleh junta untuk mengundi perdana menteri.

Seorang lagi calon PM ialah Thanathorn. Bagaimanapun adalah tidak jelas sama ada Pheu Thai, sebuah parti yang dikaitkan dengan perdana menteri yang disingkirkan, Thaksin Shinawatra, akan mencadangkan calonnya bagi jawatan itu.

Pada pilihan raya umum pertama sejak rampasan kuasa 2014 menyaksikan parti PPRP mendapat sekurang-kurangnya 147 kerusi daripada 500 anggota Dewan Rakyat, manakala parti demokratik yang diketuai oleh Pheu Thai dan gabungannya mendapat 246 kerusi.

Kedua-dua parti pro-junta, iaitu PPRP dan demokratik sedang bertungkus-lumus untuk membentuk sebuah kerajaan baru selepas lebih 2 bulan keputusan pilihan raya yang tidak menyakinkan.

Pada masa kini 3 parti politik – Demokrat, Bhumjaithai dan Chart Pattana dengan jumlah 107 kerusi belum membuat keputusan mengenai menyertai sebarang gabungan.

Pada Isnin, pemimpin PPRP, Uttama Savanayana memberi jemputan formal kepada Demokrat yang memenangi 53 kerusi dan Bhumjaithai, 51 kerusi untuk menyertai gabungannya.

Uttama juga menemui pemimpin Chart Pattana, Kanchana Silapa-archa untuk menjemput parti itu untuk menyertai gabungan itu. Bagaimanapun selepas berbincang mereka kekal tanpa keputusan.

Sekiranya ketiga-tiganya menyertai PPRP yang menyokong Prayuth, gabungan itu akan mendapat majoriti tipis 254 undi.

Media tempatan meramalkan pemilihan speaker dan timbalannya bagi kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada hujung minggu lepas menunjukkan bahawa ketiga-tiga parti itu akan menyertai PPRP dalam membentuk gabungan.