Aktivis tidak yakin Lynas mampu atasi masalah sisa radioaktif

Aktivis berkata, Lynas sepatutnya membina kilang pemprosesannya di Australia kerana mereka diberikan kebenaran oleh kerajaan negara itu.

PETALING JAYA: Aktivis “Stop Lynas” mempersoalkan sama ada Lynas, syarikat pemprosesan nadir bumi, mampu mematuhi peraturan membawa keluar sisa radioaktif yang terkumpul dari Malaysia sebagai syarat memperbaharui lesen operasi kilangnya di Kuantan.

Pengerusi “Save Malaysia, Stop Lynas” Tan Bun Teet berkata, sekiranya Lynas mematuhi syarat kerajaan, maka tidak akan ada ancaman radioaktif terhadap alam sekitar dan kilang pemprosesan sekundernya di Gebeng akan menjadi seperti mana-mana kilang lain.

“Persoalannya, adakah Lynas akan melakukannya atau mampukah mereka?”, katanya.

Tan berkata, dari segi ekonomi, adalah tidak mungkin mereka mampu mematuhi peraturan itu.

“Pada masa ini mereka (Lynas) memiliki semua kemudahan Tindakbalas Kimia dan Fizikal (cracking, leaching, extraction and finishing) di kilangnya di Kuantan,” katanya. “Hampir separuh daripada kemudahan itu mungkin perlu ditutup.”

Semalam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan membenarkan kilang tersebut terus beroperasi kerana ia merupakan “pelaburan Australia yang besar”, tetapi masalah sisa radioaktifnya hendaklah diatasi.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan menteri alam sekitar, Yeo Bee Yin berkata, Lynas mesti mengatasi isu sisa radioaktif sebelum ia dibenarkan meneruskan operasinya.

April lepas, perdana menteri berkata, Lynas boleh meneruskan operasinya sekiranya bahan mentah yang dibawa masuk dari Australia “didekontaminasikan”.

Kata beliau, proses “cracking” ke atas bijih CLD (central lanthanide deposit) yang dilombong di Mt Weld di Australia Barat hendaklah dilakukan di luar Malaysia.

Tan berkata, Lynas sepatutnya membina kilang pemprosesannya di Australia kerana mereka diberikan kebenaran oleh kerajaan negara itu.

Bagaimanapun katanya, syarikat itu tidak melakukannya di sana kerana faktor kos yang tinggi.

“Saya percaya undang-undang alam sekitar Australia sangat ketat. Mereka tidak akan terlepas daripada masalah yang kita hadapi di Malaysia sekiranya mereka membina kilang dan menjalankan proses ekstraksi di sana,” katanya.

Penduduk Kuantan dan aktivis anti Lynas yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Yu bimbang lebih banyak sisa radioaktif akan terkumpul sekiranya lesen syarikat itu diperbaharui.

“Saya juga menjangka masalah kesihatan dalam kalangan penduduk setempat akan bertambah dan lebih banyak air bawah tanah kita dicemari.”

Dr Yu berkata, “jika lesen operasi dikeluarkan, maka kita juga sebenarnya mengeluarkan lesen untuk terus mencemarkan alam.”