‘Bekas ketua Wanita PKR bahagian lompat parti kerana tak sebulu pemimpin bahagian’

Rohani Mahmood mengumumkan keputusannya menyertai Umno di Facebook Kelmarin.

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Wanita PKR Pusat, Syarul Ema Rena Abu Samah mendakwa bekas ketua Wanita Bahagian Tangga Batu, Rohani Mahmood menyertai Umno kerana tidak sebulu dengan pemimpin di peringkat bahagian itu.

Bagaimanapun, katanya, Rohani tidak mempunyai sebarang masalah dengan pimpinan PKR Melaka atau Pusat, dan melakukan tugas parti dengan baik.

“Saya dimaklumkan dia (Rohani) ada masalah komunikasi dengan ketua bahagian dia dan saya minta Rohani ikut perlembagaan parti jika ada sebarang tindakan yang tidak sepatutnya, memandangkan Wanita adalah sayap parti dan Wanita ada ketua serta peraturan yang perlu diikuti.

“Setakat perjumpaan saya dengan Rohani okey, malah dia ada hantar pesanan berkenaan gerak kerjanya. Rohani tiada masalah dengan sayap Wanita mahupun ketua Wanita negeri. Cuma masalah di bahagian dia buatkan dia putuskan untuk berbuat demikian,” katanya kepada FMT hari ini.

Syarul Ema yang lebih dikenali sebagai Ratu Naga turut mendakwa Rohani memilih Umno kerana pernah ditawarkan pelbagai bentuk bantuan.

“Saya ada terbaca Umno beri dia bantuan dan macam-macam pada keluarga beliau dan saya tak tahu apa lagi Umno dah janji dengan Rohani. Tapi tidak mengapa, saya percaya perkara ini boleh diatasi dengan sebaiknya.”

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Melaka, Ginie Lim terkejut dan kesal dengan tindakan Rohani menyertai Umno.

Katanya, beliau akan menyiasat punca Rohani berbuat demikian dan memberi penjelasan kepada Biro Politik PKR.

“Tindakan Rohani menyertai pembangkang amat dikesali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak mendapat sebarang surat peletakan jawatan daripada Rohani dan berdasarkan peraturan Wanita PKR, Rohani secara teknikalnya masih ketua Wanita Bahagian Tangga Batu.

“Rohani telah hadir ke majlis buka puasa pimpinan Wanita negeri dan mesyuarat Wanita negeri pada 21 Mei. Beliau tidak membangkitkan sebarang isu berkaitan peletakan jawatan dalam mesyuarat.

“Berkenaan makluman ketua bahagian Tangga Batu tentang peletakan jawatan Rohani melalui WhatsApp seawal Januari, pihak saya tidak pernah menerima surat peletakan jawatan berkenaan, maka Rohani kekal sebagai ketua Wanita bahagian itu mengikut peraturan Wanita PKR.”

Semalam, Ketua PKR Bahagian Tangga Batu, Qui Teck dilaporkan berkata, Rohani memaklumkan peletakan jawatannya sebagai ketua Wanita bahagian melalui WhatsApp pada 26 Januari lalu yang kemudiannya disampaikan kepada pimpinan negeri Februari lalu.

Seorang lagi pemimpin Wanita PKR Pusat, Juwairiya Zulkifli mendakwa Rohani keluar parti dan menyertai Umno disebabkan kelemahannya sendiri.

“Beliau secara peribadi memang ada sejarah bermasalah sebelum ini seperti bertukar-tukar bahagian apabila tidak serasi dengan kepimpinan.

“Saya lihat ini lebih kepada kegagalan pengurusan konflik dan tekanan beliau sendiri. Namun, kepimpinan Wanita negeri harus pantau lebih dekat isu seumpama ini agar tidak menjejaskan pergerakan Wanita bahagian,” katanya ketika dihubungi FMT.

Dalam perkembangan lain, Lim yang juga Adun Machap Jaya mengesahkan peletakan jawatan Ketua Wanita PKR Bahagian Kota Melaka, Laila Maidon atas faktor kesihatan.

“Surat peletakan jawatan diterima dalam mesyuarat Wanita negeri pada 21 Mei. Perkara ini turut dimaklumkan kepada ketua Wanita Pusat, pengerusi Majlis Pimpinan negeri dan ketua PKR Bahagian Kota Melaka pada 24 Mei.”

Katanya, timbalan ketua Wanita Tangga Batu dan Kota Melaka akan memangku jawatan ketua di bahagian mereka.

Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari berkata, peletakan jawatan 2 ketua wanita bahagian PKR diharap dapat diselesaikan menerusi rundingan secara baik dan muafakat demi keutuhan parti komponen.

Ketua menteri Melaka itu dipetik Bernama sebagai berkata, kepimpinan tertinggi PKR, khususnya sayap Wanita perlu menggunakan kebijaksanaan untuk menyelesaikan isu berbangkit.