NGO bidas ahli majlis kritik kanak-kanak terlibat protes alam sekitar

Sebahagian kanak-kanak yang terlibat dalam satu bantahan perubahan iklim di Bayan Baru pada 24 Mei lepas. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan alam sekitar menyelar tindakan seorang ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang mengkritik penglibatan pelajar sekolah rendah dalam satu protes perubahan iklim baru-baru ini.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, kritikan yang dibuat oleh Vino Dini Chandragason terhadap penglibatan kanak-kanak itu sebagai tindakan yang “sangat bodoh”.

Katanya, ini kerana Vino seolah-olah menghina kemampuan kanak-kanak yang terlibat dalam protes tersebut untuk berfikir tentang masalah perubahan iklim dunia.

“Ini sangat ironis.

“Hanya kerana mereka menyuarakan perkara itu pada usia masih muda tidak bermakna mereka salah,” kata Shariffa Sabrina kepada FMT, sambil menambah bahawa generasi muda masa kini semakin prihatin dan berani bersuara mengenai isu perubahan iklim dan alam sekitar.

Media sebelum ini melaporkan satu protes yang diadakan SMJK Choong Hua di Bidor, Perak, baru-baru ini yang menyaksikan pelajar sekolah berkenaan di bawah pengawasan guru membawa plakad untuk menyuarakan kebimbangan mereka berhubung isu perubahan iklim dan kesannya kepada masa depan generasi muda.

Presiden Peka, Shariffa Sabrina.

Vino dilaporkan berkata, penganjur program bantahan perubahan iklim di sebuah bazar Ramadan di Bayan Baru minggu lepas menyalahgunakan peranan mereka sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dengan menggunakan kanak-kanak bagi menyampaikan mesej kepada pihak berkuasa.

Berikutan itu, penganjur iaitu Klimate Action Utara Malaysia dan Klima Action Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kanak-kanak terbabit mendapat kebenaran sekolah dan ibu bapa mereka untuk menyuarakan kebimbangan mereka dalam bantahan itu.

Jelas mereka, protes itu tidak “berpusat atau memfokuskan isu politik kecil atau menyebarkan rasa tidak puas hati terhadap Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang”.

Mengulas lanjut, Shariffa Sabrina berkata, semua kanak-kanak di negara ini mempunyai hak untuk menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu dan masalah alam sekitar.

“Terutamanya masalah perubahan iklim yang jelas akan menjejaskan masa depan mereka kelak.”

Kata beliau lagi, kanak-kanak adalah harapan alam sekitar kerana mereka adalah pelapis pejuang ekosistem muda yang dimiliki oleh negara untuk masa depan.

Katanya, Peka memuji anak-anak muda yang sudah mengambil langkah dan menapak dalam menyuarakan isu tersebut berbanding golongan dewasa yang dilihat gagal berbuat demikian.

“Ini kerana orang dewasa masa kini terlalu sombong untuk menjaga (alam sekitar),” katanya.