Pelantikan datuk bandar Ipoh baru dijangka selesai Julai, kata exco
Paul Yong Choo Kiong berkata, urusan berkaitan pelantikan datuk bandar Ipoh yang baru sedang dilakukan JPA.
BATU GAJAH: Semua urusan pelantikan datuk bandar Ipoh yang baru dijangka selesai Julai ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, Paul Yong Choo Kiong.
Beliau berkata, urusan berkaitan pelantikan itu sedang diproses Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Proses itu berjalan lancar dan sekarang berada di peringkat JPA, tiada sebarang masalah,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan Kotak Harapan di Pusing, di sini, hari ini.
JPA pada 24 April lalu memaklumkan tempoh perkhidmatan Zamri Man sebagai datuk bandar Ipoh dipendekkan mulai 17 Februari lalu atas faktor kesihatan.
Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu pada 21 April lalu berkata calon bagi jawatan itu merupakan seorang anak tempatan yang mahir berbahasa Jepun dan mendapat persetujuan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Beliau berkata, pelantikan datuk bandar Ipoh yang baru akan dibuat pada akhir April, namun sehingga kini jawatan itu masih kosong.