Selepas peguam Adib tarik diri, Majlis Peguam gesa ahli lebih cermat

Presiden Majlis Peguam Abdul Fareed Abdul Gafoor.

PETALING JAYA: Majlis Peguam hari ini menggesa ahlinya supaya “lebih cermat dan teliti” sebelum menerima sesuatu kes berikutan keputusan seorang peguam menarik diri daripada inkues kematian seorang anggota bomba.

“Semua ahli digesa supaya memeriksa setiap satu kes sama ada ia akan “memalukan” mereka atau sekiranya tingkah laku profesional mereka akan dipersoalkan jika menerima mana-mana kes.

“Ini adalah tanggungjawab yang mesti dipandang serius oleh semua peguam,” kata presidennya Abdul Fareed Abdul Gafoor dalam satu kenyataan.

Minggu lepas, Peguam Negara, Tommy Thomas mengemukakan beberapa sebab kenapa peguam Syazlin Mansor tidak boleh mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam inkues ke atas kematian angoota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ini termasuklah konflik kepentingan kerana Syzalin juga mewakili keluarga Adib.

Thomas berkata, Syazlin juga kerap bercanggah dengan pendirian yang diambil oleh timbalan pendakwa raya (DPP), justeru “memalukan kedudukannya sebagai peguam kementerian”.

Fareed bersetuju bahawa wujudnya potensi berlaku konflik kepentingan, tetapi mempersoalkan kenapa bantahan tidak dibuat lebih awal.

Katanya, arahan supaya Syazlin menarik diri daripada mewakili kerajaan pada tahap-tahap akhir inkues mungkin menyumbang kepada persepsi negatif orang ramai terhadap perkembangan yang berlaku.

Fareed berkata, persepsi tidak menyenangkan itu diburukkan lagi oleh tindakan DPP memfailkan satu afidavit yang dikatakan menyebut bahawa kematian Adib bukan kerana beliau dipukul oleh mana-mana orang.

Katanya, tindakan itu diambil sedangkan apa-apa dapatan berkaitan punca kematian “merupakan prerogatif eksklusif koroner yang mengendalikan inkues”.

“Semua pihak terlibat sepatutnya mengambil pendekatan lebih hemat dan berhati-hati dari awal. Kegagalan berbuat demikian telah menimbulkan pelbagai andaian serta persepsi buruk yang tidak perlu,” katanya.

Adib merupakan anggota pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya yang ditugaskan ke kuil Hindu Seafield pada 27 November 2018 berikutan insiden protes berhubung petempatan semula kuil tersebut yang mencetuskan rusuhan dan perbuatan merosakkan harta benda.

Malam semalam, menteri KPKT Zuraida Kamaruddin berkata, seorang peguam kerajaan baru akan dilantik untuk mewakili kementerian berkenaan.