171 kes langgar Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dicatat di seluruh negara

Johor mencatatkan kes pelanggaran skim harga maksimum KPDNHEP tertinggi dengan 47 kes diikuiti Kelantan dan Selangor.

IPOH: Sebanyak 171 kes pelanggaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan 2019 direkodkan di seluruh negara sejak ia dilaksakana pada 21 Mei lalu sehingga semalam.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Pencegahan dan Perisikan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Suhaimi Mat Sari berkata, antara kesalahan dikesan, termasuk peniaga menjual barangan melebihi harga maksimum, gagal menggunakan tanda harga khas dan tidak meletakkan tanda harga.

Katanya, sejak dilaksanakan 13 hari lepas, sebanyak 32,565 pemeriksaan premis borong dan runcit dilakukan di seluruh negara.

“Menurut laporan sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan dari 21 Mei hingga 2 Jun, 931 pemeriksaan di premis borong dan 31,634 premis runcit dilakukan.

“Ia melibatkan kompaun sebanyak RM20,895 dan rampasan bernilai RM18,416.75,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan dan pemeriksaan Harga Sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Besar Ipoh, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, Johor merupakan negeri paling tinggi merekodkan kes pelanggaran skim dengan 47 kes, diikuti Kelantan (42) dan Selangor 21 kes.

“Di Perak sebanyak 15 kes dicatatkan dan kesemuanya melibatkan kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas.

“Di Perak setakat tempoh 13 hari ini sebanyak 3,007 pemeriksaan dilakukan melibatkan nilai kompaun RM1,500 dan rampasan sebanyak RM802.10,” katanya.