Gereja di Abu Dhabi anjur iftar dan solat Maghrib untuk 500 pekerja

Seiring dengan sepanduk “Tahun Toleransi” dengan imej Sheikh Zayed Sultan Al Nahyan dan Pope Francis, Gereja St Paul menganjurkan iftar bagi pekerja kawasan perindustrian Musaffah di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

Ia disifatkan hari istimewa bagi gereja itu apabila menjadi tuan rumah kepada lebih daripada 500 pekerja yang kebanyakannya umat Islam, untuk perhimpunan Iftar pertama dan solat Maghrib yang dipimpin oleh imam di premisnya.

Paderi Ani Xavier berkata dengan lebih daripada 200 warganegara, UAE dilihat sebagai lambang kesatuan ummah dan pada masa yang sama menunjukkan keterbukaan dalam kepimpinan.

Gereja itu katanya turut meraikan “Tahun Toleransi” dengan membuka pintunya kepada semua pekerja yang berbilang bangsa.

“Ini adalah tahun yang penting, pemimpin UAE telah menjemput Pope Francis dan diberi sambutan diraja. Pope membuat hubungan yang sangat baik dengan pihak berkuasa UAE.

“Kami amat berbesar hati diberi peluang untuk menjadi tuan rumah iftar ini dalam semangat ‘Tahun Toleransi’ untuk pekerja,” kata Xavier.

Menurut paderi, iftar dan solat Maghrib yang diadakan untuk mewujudkan hubungan lebih baik dengan sesama saudara Islam.

“Kita boleh merasai perubahan dan program ini ternyata membantu mewujudkan jambatan hubungan dengan saudara lelaki ini. Ini adalah mesej perpaduan dan persaudaraan untuk seluruh dunia.

“Perhimpunan ini juga secara tidak langsung memberitahu seluruh dunia bahawa kita adalah saudara tidak kira lelaki dan perempuan – satu Tuhan, iman dan kemanusiaan.

“Kita mungkin datang dari negara-negara yang berbeza tetapi darah kita merah. Semoga Allah memberkati semua orang,” kata Xavier.

Beliau juga menyatakan penghargaan terhadap penyertaan majlis Perbandaran dan polis Abu Dhabi.

Pegawai yang bertugas bergilir-gilir menunaikan solat sambil bekerja turut memuji pelaksanaan acara itu.

Beratus pekerja yang berbilang warganegara gembira menjadi sebahagian daripada acara sedemikian.

“Ini kali pertama bagi saya untuk masuk ke dalam gereja. Ia berbeza tetapi bagus,” kata Muhammad Ashraf, seorang pekerja.

Sumber : khaleejtimes.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]