Kami guna kekerasan jika anda mengacau, China ingatkan AS

Menteri Pertahanan China Wei Fenghe berucap pada Dialog Shangri-La di Singapura. (Gambar AFP)

SINGAPURA: Menteri Pertahanan China Wei Fenghe berkata, perang dengan Amerika Sayrikat akan menjadi satu bencana kepada dunia, sewaktu beliau mengingatkan Washington supaya tidak masuk campur dalam pertikaian keselamatan mengenai Taiwan dan Laut China Selatan.

China berang berkait beberapa tindakan terbaru pentadbiran Presiden AS Donald Trump menyokong pemerintahan sendiri dan demokratik Taiwan, termasuk mengadakan pelayaran kapal tentera laut negara itu melalui Selat Taiwan yang memisahkan pulau tersebut dengan tanah besar China.

Bercakap pada Dialog Shangri-La di Singapura, yang merupakan persidangan utama melibatkan menteri pertahanan negara Asia, Wei berkata, China akan “berjuang hingga akhir” jika ada pihak masuk campur dalam hubungan negara itu dengan Taiwan, yang dilihat oleh Beijing sebagai wilayah suci yang akan diambil alih secara paksa jika perlu.

Wei, yang merupakan menteri China pertama berucap pada dialog berkenaan sejak 2011 berkata, operasi ketenteraan Beijing di Asia hanya bertujuan pertahanan, tetapi ia tidak akan teragak-agak untuk bertindak balas terhadap serangan ke atas kepentingannya.

“China tidak akan menyerang melainkan kami diserang,” kata Wei, dan mengingatkan tentang kesan buruk sekiranya berlaku pertembungan antara China dengan AS.

“Kedua-dua pihak sedar sekiranya berlaku konflik atau perang, akan belaku bencana ke atas kedua-dua negara dan juga dunia.”

AS, sama seperti kebanyakan negara lain, tidak mempunyai hubungan langsung dengan Taiwan, tetapi merupakan penyokong yang terkuat dan sumber utama persenjataannya.

Pada Sabtu, pemangku setiausaha pertahanan AS, Patrick Shanahan memberitahu sidang Shangri-La bahawa Washington tidak lagi akan “bersikap lunak” berkaitan tindak tanduk China di Asia.

Walaupun ucapan Shanahan kritikal terhadap China, namun nadanya lebih lembut, Wei bagaimanapun mengambil pendekatan lebih kombatif.

“Tiada usaha yang bertujuan memisahkan China akan berjaya. Sebarang campur tangan dalam isu Taiwan pasti gagal,” kata Wei, yang memakai seragam jeneral Tentera Pembebasan Rakyat.

“Jika ada pihak yang berani memisahkan Taiwan daripada China, tentera China tidak ada pilihan selain berjuang sepenuh tenaga. AS tidak boleh dipecah-pecahkan, begitu juga China. China mesti bersatu. Ia akan disatukan semula.”

Hubungan AS-China tegang berikutan perang perdagangan, sokongan AS kepada Taiwan dan keberadaan tentera China di Laut China Selatan, yang juga menyaksikan AS mengadakan rondaan navigasi bebas.

Pada Mei, ketua keselamatan Taiwan David Lee bertemu penasihat keselamatan Rumah Putih, John Bolton dalam pertemuan pertama dalam tempoh 4 dekad antara pegawai keselamatan kanan AS dan Taiwan.

Merujuk secara langsung kepada AS, Wei berkata, “sesetengah negara dari luar wilayah datang ke Laut China Selatan untuk menunjukkan kekuatannya atas nama kebebasan navigasi.”

Ketika menjawab pertanyaan majlis, Wei mempertahankan cara kerajaan China mengendalikan “insiden” Tiananmen yang berlaku 30 tahun lepas minggu ini.

Ia merupakan satu pengakuan rasmi yang jarang-jarang berlaku berhubung kejadian pada 4 Jun 1989 itu kerana apa-apa rujukan mengenainya disekat oleh kerajaan China.

“Kerajaan bertindak tegas bagi menamatkan kekacauan yang berlaku” kata Wei, merujuk kepada langkah keras kerajaan China terhadap penunjuk perasaan di Medan Tiananmen.

“Hasilnya China hari ini stabil dan jika anda melawat China, anda akan memahami sejarah itu.”

Berhubung perang perdagangan yang berlaku, yang menggugat pasaran saham di seluruh dunia, Wei berkata China “akan berjuang hingga akhir” jika AS mahukan perbalahan. Tetapi jika Washington ingin berunding, “kami akan membuka pintu”.

Ketegangan dagang memuncak minggu lepas apabila pentadbiran Trump menuduh China “mengingkari” janjinya untuk melaksanakan perubahan struktural ke atas amalan perniagaannya.

Washigton kemudiannya mengenakan tariff tambahan sehingga 25% ke atas produk China bernilai AS$200 bilion, menyebabkan Beijing bertindak balas.

Ketika bercakap dalam satu sidang media di Beijing, timbalan menteri perdagangan China, Wang Shouwen berkata, AS bersikap tidak bertanggungjawab apabila menuduh China mengingkari janji yang dibuat.

“Jika AS mahu menggunakan tekanan melampau bagi meningkatkan pertikaian perdagangan bagi memaksa China tunduk dan memberi konsesi, ia sama sekali tidak mungkin,” kata Wang, yang merupakan anggota pasukan perunding perdagangan China.