Kemelut ambil alih konsesi balak takutkan pelabur, kata bekas KM Sabah

Bekas ketua menteri Sabah Yong Teck Lee, berkata, ketidaktentuan kerajaan akan menggugat keyakinan pelabur ke negeri itu. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Kemelut undang-undang berhubung pembelian konsesi Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) yang antara lain melibatkan kerajaan Sabah menggugat keyakinan pelabur di negeri ini, kata bekas ketua menteri Yong Teck Lee.

Beliau berkata, isu SFI sepanjang setahun lepas akan menakutkan bakal pelabur untuk melabur di Sabah.

“Bagaimanakan bakal pelabur, seperti Ikea, akan berasa yakin bahawa pelaburan mereka di Sabah tidak akan mengalami nasib yang sama dengan pelabur SFI?

“Pelabur asing berasa bimbang, terutamanya berhubung ketidaktentuan, kurangnya ketelusan serta pelaksanaan undang-undang yang lemah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Presiden SAPP itu berkata, di satu pihak kerajaan Sabah bercakap tentang terdapatnya sumber asli seperti balak sebagai tarikan utama kepada pelabur asing dalam sektor beasaskan kayu di Sabah.

Bagaimanapun dari sudut lain, kerajaan yang sama dilaporkan enggan mengeluarkan lesen pembalakan kepada pelabur utama sektor tersebut untuk menjalankan perniagaan berasaskan kayu.

“Akibatnya kerajaan Sabah terperangkap dalam satu kemelut undang-undang dengan pelabur, iaitu sebuah konglomerat Malaysia, melibatkan pengeluar produk kayu terbesar di negeri itu, SFI,” katanya.

Yong merujuk laporan media mengenai kemelut undang-undang antara kerajaan negeri, SFI, penerima dan pengurus SFI Grant Thornton Consulting Sdn Bhd dan Pelangi Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Syed Mokhtar Albukhary, salah seorang Bumiputera paling kaya di Malaysia.

Turut terlibat ialah syarikat pulpa dan kertas dari China, Lee & Man Paper Manufacturing Ltd.

Laporan StarbizWeek merujuk kepada satu saman sivil terhadap pihak terbabit dan satu permohonan semakan kehakiman terhadap Ketua Menteri Shafie Apdal dan kerajaan negeri yang difailkan oleh Prestasi.

Ia pada mulanya merupakan satu transaksi perniagaan biasa apabila Pelangi menanatangani satu perjanjian untuk membeli SFI pada 2018, tetapi keadaan menjadi kusut selepas pilihan raya umum ke-14 tahun lepas.

Kerajaan negeri yang baru memutuskan untuk tidak mengeluarkan lesen balak baru kepada Pelangi. Ia juga menetapkan syarat yang sama sekali baru bagi mengeluarkan lesen.

Memetik laporan media, Yong berkata, pelabur terbabit telah membayar deposit sebanyak RM120 juta untuk mengambil alih SFI yang berdepan masalah kewangan, tetapi tanpa akses kepada bahan mentah, pelabur akan mengalami kerugian besar.

“Keidaktentuan dasar kerajaan akan merosakkan sentimen sektor swasta.

“Contoh lain awal tahuin ini ialah pengharaman mengejut ke atas eksport kayu balak ladang yang dikatakan menyebabkan kerajaan negeri disaman sebanyak RM91 juta oleh sebuah syarikat ladang balak,” katanya.

Beliau berkata, peladangan kayu balak merupakan pelaburan jangka panjang tetapi telah dirosakkan dengan teruk oleh pengharaman eksport kayu balak yang ditanam syarikat terbabit.

“Kerajaan Sabah perlu mendengar nasihat ahli perniagaan terkenal, Daim Zainuddin, yang menyuarakan kebimbangannya tentang bagaimana kenyataan oleh menteri persekutuan menghakis keyakinan sektor perniagaan pada ekonomi negara dan menyebabkan kejatuhan nilai ringgit.

“Justeru kemelut undang-undang berkaitan SFI akan menakutkan pelabur. Bakal pelabur di Sabah akan melihat masalah itu dengan penuh kebimbangan kerana ia merupakan satu berita buruk kepada pelaburan,” katanya.