Polis minta dana anjur majlis raya akan dipindahkan, kata KPN

GOMBAK: Pegawai polis yang mengarahkan orang bawahan mencari dana daripada syarikat dan individu untuk menganjurkan acara Hari Raya akan dipindahkan serta-merta, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Bercakap kepada pemberita di satu acara di Plaza Tol Gombak, Hamid berkata dia menerima rungutan terhadap pegawai atasan termasuk ketua-ketua polis daerah yang masih melakukannya walaupun sudah diberi peringatan.

“Saya melarang sebarang penganjuran majlis yang menggunakan dana daripada luar, saya tidak mahu, saya tidak izinkan,” katanya.

Polis bagaimanapun boleh menggunakan dana daripada kelab kakitangan polis atau sumbangan sesama sendiri.

“Tetapi kalau meminta daripada orang ramai, meminta daripada syarikat-syarikat dan individu-individu, saya tidak izinkan.

“Kalau kita tidak mampu, jangan kita buat. Orang ramai tidak rasa terkilan kalau polis tak buat rumah terbuka,” katanya.

Beliau kesal masih ada pegawai atasan yang degil, dan menganggap penganjuran majlis di balai polis dengan makanan mewah sebagai suatu kejayaan.

“Tetapi yang memalukan duit ini datang daripada orang luar, yang memburukkannya lagi apabila ia datang daripada sumber-sumber yang tidak halal,” katanya.