Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Laporan Indeks Pengurus Pembelian Nikkei terbaru memberi unjuran positif bagi sektor pembuatan Malaysia, walaupun landskap risiko global masih tidak menentu.

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, sejajar dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Nikkei yang positif.

Pada 9 pagi, ringgit naik kepada 4.1850/1900 berbanding dolar AS daripada 4.1890/1920 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Peniaga berkata, PMI Nikkei yang dikeluarkan pagi ini melegakan para pelabur apabila ia menyatakan keyakinan perniagaan mencapai tahap tertinggi dalam tempoh beberapa tahun, selain optimis dengan jumlah output pada masa akan datang.

“Perniagaan merancang pelancaran produk baru dan jangkaan permintaan lebih kukuh, terutama dari pasaran luar negara, menyokong peningkatan keyakinan itu,” katanya dipetik sebagai berkata dalam laporan berkenaan.

Beliau berkata, laporan itu memberi unjuran positif bagi sektor pembuatan Malaysia, walaupun landskap risiko global masih tidak menentu.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0465/0513 daripada 3.0399/0432 pada Jumaat lepas dan susut berbanding yen Jepun pada 3.8643/8700 daripada 3.8512/8544.

Unit tempatan lemah berbanding pound Britain kepada 5.2928/2995 daripada 5.2693/2748 minggu lepas dan rendah berbanding euro kepada 4.6776/6848 daripada 4.6703/6741.