Rumah keluarga Jho Low tiada kaitan dengan 1MDB, kata kumpulan pendesak

Rumah keluarga Jho Low di Pulau Pinang merupakan antara aset terlibat dalam tindakan pelucutanhak sivil yang difailkan kerajaan.

PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Pulau Pinang membidas langkah pihak berkuasa mahu merampas sebuah rumah agam milik ibu ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho dengan berkata, rumah berkenaan tidak ada kena mengena dengan 1MDB.

Penasihat Citizen Awareness Chant Group (Chant) Yan Lee berkata, beliau mengenali ibu bapa Low, iaitu Larry Low Hock Peng dan Goh Gaik Ewe selama lebih 20 tahun.

“Rumah itu merupakan rumah keluarga mereka sejak sekian lama. Anak-anak mereka membesar di rumah itu.

“Jelaslah jika mahkamah yang adil mendapati ada wang yang diselewengkan, maka ia perlu dirampas, tetapi bagaimana pula rumah ini boleh dikaitkan dengan 1MDB sedangkan ia dibina lama sebelum 1MDB wujud,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi oleh jurucakap Low.

Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, kini menentang tindakan merampas rumah tersebut yang menurut beliau sijil mendudukinya dimiliki ibunya sejak 2009.

Pihak berkuasa mahu merampas rumah berkenaan sebagai sebahagian daripada tindakan pelucutanhak sivil bernilai RM680 juta.

Aset terbabit meliputi beg tangan, kereta dan wang tunai yang menurut kerajaan dibeli dengan menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB yang ditubuhkan pada 2009.

Yan berkata, kerajaan perlu mematuhi undang-undang dan “berhenti menggunakan isu itu sebagai satu alasan”.

“Merampas rumah keluarga mana-mana orang pun tanpa sebab yang sah adalah salah.”