350,000 akaun bank baru dibuka untuk Bantuan Sara Hidup

Kementerian Kewangan meluluskan pembayaran fasa kedua BSH kepada 3.6 juta penerima yang layak pada 31 Mei lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan hampir 350,000 akaun baru Bank Simpanan Nasional (BSN) dibuka atas nama isteri pemohon Bantuan Sara Hidup (BSH).

Katanya, ia disebabkan bayaran fasa kedua BSH kepada 300,000 penerima BSH tidak dapat disalurkan pada 31 Mei lalu kerana nombor akaun bank yang didaftarkan tidak tepat.

“Ini terbangkit apabila antaranya pemohon mengisi nombor akaun bank suami dalam ruang untuk diisikan nombor akaun isteri,” kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

“Bagi golongan tersebut yang gagal dikreditkan ke dalam akaun bank, adalah dimaklumkan BSN telah mewujudkan hampir 350,000 akaun bank baru secara automatik mulai 3 Jun atas nama isteri pemohon BSH.”

Katanya, penerima boleh ke cawangan BSN untuk mengaktifkan akaun dan mengeluarkan wang mulai hari ini.

Pemohon BSH boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 atau e-mel [email protected] untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Kementerian Kewangan meluluskan pembayaran fasa kedua BSH kepada 3.6 juta penerima yang layak pada 31 Mei lalu.