Latheefa umum surat letak keahlian sudah dihantar, PKR kata tak tahu
Ketua pesuruhjaya SPRM baru berkata surat peletakan keahlian PKR sudah dihantar semalam.
PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru saja dilantik, Latheefa Beebi Koya mengumumkan beliau sudah menghantar surat peletakan keahlian PKR semalam.
Menurut Latheefa, surat itu dihantar apabila diberitahu akan dilantik untuk mengetuai badan anti-rasuah itu.
“Saya menghantar peletakan keahlian sebagai ahli biasa PKR semalam berkuatkuasa serta-merta, apabila diberitahu akan dilantik sebagai ketua SPRM,” katanya di Twitter hari ini.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail ketika dihubungi berkata beliau tidak mendapat sebarang maklumat berhubung peletakan keahlian Latheefa itu.
Saifuddin, yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna juga berkata, dia tidak tahu tentang pelantikan Latheefa.
Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam, William Leong Jee Keen tidak meneliti pelantikan Latheefa kerana tidak dimaklumkan.
“Saya dan jawatankuasa Parlimen ini hanya diberitahu tentang pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM melalui pengumuman yang dibuat ketika ini,” kata pengerusi jawatankuasa itu kepada FMT.
William berkata pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM baru seharusnya dibincangkan terlebih dahulu memandangkan jawatankuasa itu ditubuhkan Pakatan Harapan untuk tujuan itu.
“Saya akan panggil mesyuarat tergempar dengan segera untuk meneliti perkara ini dan kita akan berhubung dengan kerajaan persekutuan,” tambahnya.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM baru berkuatkuasa 1 Jun lepas.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Peguam dan pengarah eksekutif Lawyers for Liberty itu menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020.