Menteri Sri Lanka letak jawatan, bantah ancaman terhadap orang Islam

Seorang wanita sedang ditenangkan di pengebumian mangsa yang terbunuh dalam serangan Easter. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Semua menteri dan timbalan menteri Sri Lanka yang beragama Islam meletak jawatan selepas menuduh kerajaan gagal menjamin keselamatan masyarakat Islam disebalik ketakutan yang menyusuli serangan bom bunuh diri Easter, lapor Al Jazeera.

Mereka meletakkan jawatan selepas kumpulan sami-sami Buddha aliran keras, termasuk Galagoda Aththe Gnanasara Thero, memberikan tarikh akhir kepada kerajaan supaya memecat 2 gabenor wilayah dan seorang menteri.

Gnanasara, yang sekian lama dituduh menghasut jenayah kebencian terhadap orang Islam, dibebaskan dari penjara selepas mendapat pengampunan presiden bulan lepas.

Peletakan jawatan 9 menteri dan 2 gabenor wilayah itu menyusuli tunjuk perasaan ribuan orang yang diketuai sami-sami Buddha pagi tadi di bandar Kandy, sebagai tanda sokongan kepada mogok lapar sami Sami Athuraliye Rathana Thero.

Thero mendakwa 2 gabenor itu mempunyai kaitan dengan serangan Easter. Dia menamatkan mogok lapar 3 hari itu semalam selepas Gabenor Wilayah Barat, Azath Salley dan Gabenor Wilayah Timur, MLAM Hizbullah meletak jawatan.

Ketua gereja Katolik di Kolombo, Kardinal Malcolm Ranjith juga turun ke Kandy semalam bagi menyuarakan solidariti dengan Thero, mengatakan mereka menyokong kempen sami itu kerana keadilan belum tidak ditegakkan.

Pada satu sidang media semalam, ketua parti Islam utama negara itu, Kongres Muslim Sri Lanka, Rauff Hakeem mengumumkan semua menteri-menteri kabinet dan bukan kabinet dan timbalan-timbalan menteri yang beragama Islam akan meletakkan jawatan.

“Jika portfolio kementerian kami menjadi penghalang, kami sedia menyerahkannya demi keselamatan masyarakat kami,” katanya.

Beliau menambah masyarakat Islam dipaksa menanggung derita atas jenayah segelintir individu walaupun selepas mematuhi pelbagai peraturan dan pengawalan daripada pasukan keselamatan dan kerajaan seperti penutupan madrasah.

Rauff berkata wakil-wakil rakyat beragama Islam akan terus kekal sebagai ahli Parlimen kerana masyarakat Islam akan terus menyokong kerajaan semasa.

“Kami akan berikan tempoh satu bulan kepada kerajaan untuk melengkapkan siasatan. Kami tidak akan berada dalam kerajaan sehingga siasatan selesai.”

Tiga minggu lalu, gerombolan orang ramai memusnahkan harta-harta orang Islam dan membunuh seorang beragama Islam di Wilayah Barat Laut sebagai pembalasan terhadap serangan bom bunuh diri pada April.

Lebih 250 orang terbunuh dalam serangan terancang terhadap gereja-geraja dan hotel-hotel itu. Satu kumpulan Islam tempatan, National Thowheed Jamath (NTJ) dipersalahkan atas peristiwa itu.