Misi sudah selesai, Shukri jelaskan pengundurannya

Mohd Shukri Abdull. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Mohd Shukri Abdull, yang berundur sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Sabtu walaupun kontraknya hingga tahun depan berkata, dia hanya mengotakan janjinya pada perdana menteri.

Shukri mendedahkan dia pernah berjanji pada Dr Mahathir Mohamad bahawa dia akan berundur setahun selepas dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM tahun lepas.

“Saya mengotakan janji pada perdana menteri. Itu prinsip saya,” katanya kepada FMT.

Ditanya mengenai pelantikannya, Shukri berkata dia kembali ke SPRM kerana dia mahu selesaikan suatu misi, iaitu melengkapkan siasatan ke atas skandal 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International.

Beliau berkata perkara itu sudah dibawa ke mahkamah dan suspek-suspeknya didakwa.

“Saya sudah laksanakan tanggungjawab saya. Misi sudah selesai,” katanya.

Melihat ke masa depan, Shukri berharap penggantinya, Latheefa Koya akan meneruskan apa yang sedang dilaksanakan.

Shukri menyertai Badan Pencegah Rasuah pada 1984 sebagai seorang pengawai penyiasat selepas tamat pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau dilantik menjadi ketua pesuruhjaya pada Mei lepas, dan menangis apabila menceritakan kepada media tentang pengalamannya “melarikan diri” daripada pihak berkuasa Malaysia ke Amerika Syarikat.

Ia selepas bekas ketuanya, Abu Kassim Mohamed membuat keputusan untuk mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak berhubung RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun banknya.

Shukri mendakwa pada hari Najib patut didakwa, peguam negara ketika itu, Abdul Gani Patail disingkirkan dari jawatannya, dan diikuti dengan rombakan jemaah menteri.