Pengesahan menteri sangkal dakwaan pencemaran air bawah tanah, kata Lynas

PETALING JAYA: Lynas Malaysia menyambut baik kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar bahawa operasinya tidak menyebabkan sebarang pencemaran air bawah tanah.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata pengesahan menteri itu membuktikan dakwaan aktivis anti-Lynas tidak benar, dengan niat mewujudkan ketakutan dan ketidakpastian dalam komuniti mengenai operasinya.

“Bagaimanapun, siasatan saintifik yang betul membuktikan dakwaan-dakwaan itu tidak benar,” kata Pengarah Urusan Mashad Ahmad dan Pengarah Besar Keselamatan Radiasi, Pengawalan dan Pematuhan, Ismail Bahari.

Xavier berkata ujian terbaru yang dilakukan di kawasan sekitar Lynas menunjukkan bacaan logam berat negatif.

Lynas berkata keputusan itu disahkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Lynas menjelaskan ia menghasilkan 2 sisa pepejal: NUF, sejenis gipsum sintetik, dan WLP, sejenis bahan besi fosfat.

Ia berkata WLP itu, yang menjadi tumpuan dalam kritikan terhadap Lynas, adalah sejenis bahan radioaktif semulajadi (NORM).

“Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, pakar-pakar teknikal yang menasihati jawatankuasa pilihan khas Parlimen, para saintis jawatankuasa eksekutif penilaian Pakatan Harapan semua mengesahkan badan itu berisiko rendah,” kata Lynas.

Ia berkata penyelidikan meluas mengenai penggunaan WLP dan N”UF menghasilkan CondiSoil, sejenis perapi tanah yang selamat dan membantu membaiki tanah-tanah bermasalah, menjadikan tanah-tanah itu sesuai untuk tujuan pertanian.

Penyelidikan juga membuktikan CondiSoil penyelesaian terbaik untuk penggunaan semula sisa-sisa dalam aplikasi produktif dan keseluruhan pengurusan sisa-sisa Lynas Malaysia.

“Kedua-dua bahan WLP dan NUF yang dihasilkan di Lynas Malaysia bersamaan dari segi kandangan dengan bahan yang diimport Malaysia dan boleh digunakan untuk menggantikan bahan-bahan yang diimport dan menyokong nilai ekonomi dan pembangunan di Malaysia.”