Persiapan menyambut Hari Raya yang tak mungkin dilupa

Ada sahaja permintaan yang dibuat kepada ibu bapa setiap kali menjelang hari raya, biasanya mak atau ayah akan turuti sahaja keinginan anak-anak selagi mampu.

Sememangnya kenangan sebegitu membuatkan persediaan dan sambutan hari raya lebih bermakna, malah memberi seribu kegembiraan setiap kali meraikannya bersama mereka.

Mungkin ada beberapa persediaan, dan sambutan ini yang kita akan kenang dan pernah lakukannya bersama mak dan ayah.

1. Buat lemang sendiri

Masa nak dekat raya, memang ramai yang buat tempahan untuk lemang, jika lambat atau tidak membuat tempahan, memang tak akan dapat.

Bukan itu sahaja, jika tempah lewat anda terpaksa beratur lebih panjang semata-mata nak beli lemang.

Jadi ramai yang ambil keputusan untuk buat lemang sendiri dan boleh makan sebanyak mana yang anda inginkan!

2. Baju raya sedondon

Kebiasaannya persiapan utama yang dilakukan adalah mencari baju sedondon atau sama warna.

Ia perlu dicari lebih awal untuk memberi peluang membuat pilihan dan yang pasti semua saiz ada.

Ia antara perkara menarik untuk dilakukan bersama bersama keluarga sekaligus mengeratkan silaturahim antara mereka.

3. Telefon adik-beradik

Selalunya bila masuk bulan puasa atau hampir menjelang raya, ahli keluarga akan sibuk menelefon untuk berkumpul dan bertanyakan tentang persiapan yang perlu dibeli.

4. Tumpang kawan

Bagi menjimatkan kos perjalanan, ada juga di antara mereka yang tumpang untuk pulang ke kampung di kawasan yang sama dengan rakan atau kenalan yang ada.

Ini kerana terdapat kes yang tidak dapat pulang ke kampung kerana kehabisan tiket bas atau tiket penerbangan terlalu mahal, sekaligus membantutkan niat untuk beraya bersama yang tersayang.

5. Sedekah barang, jangan buang

Bulan Ramadan adalah bulan mulia dan elok bersedekah.

Barang lama seperti baju, pelita lama, atau lampu kelip-kelip jangan dibuang, beri kepada jiran yang memerlukannya.

6. Kuih raya mak

Ini memang salah satu kegemaran waktu kecil-kecil dahulu, sampai sekarang mesti nak buat juga kuih raya.

Ia seolah-olah menjadi tradisi dalam keluarga untuk membuat kuih menjelang hari raya.

Pastinya ia lebih jimat dan ia boleh dilakukan bersama adik beradik dan rasanya pasti lebih enak mengikut citarasa masing-masing!

7. Beli banyak, kongsi dengan yang lain

Ada di antara kita yang golongan ibu rajin membuat kuih raya kerana seronok anak-anak pulang ke kampung, ditambah pula dengan kuih yang sudah dibeli oleh anak-anak, pasti ia menjadi kuantiti yang banyak.

Dalam hal ini, kuih tersebut boleh dikongsi bersama atau beri kepada jiran mahupun golongan yang lebih memerlukan.

8. Maklumkan kehadiran sebelum bertandang

Sudah menjadi satu kemestian untuk datang beraya rumah semua orang, tidak kira saudara-mara mahu pun sahabat.

Namun adalah lebih elok sekiranya sebelum datang, WhatsApp atau mesej dahulu tuan rumah, tidaklah mereka terkejut dan sempat kemas atau siapkan apa yang patut.

9. Jangan lupa mak dan ayah

Mungkin ada yang tidak dapat beraya bersama keluarga, atas faktor kerja atau masalah lain, walau apa pun, jangan lupa kedua-dua orang tua, sama ada ibu ayah sendiri mahu pun mertua.

Biar pun tidak dapat pulang berhari raya, yang penting tanda ingatan tidak lupa.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]