Puluhan kenderaan tenggelam di KK kerana banjir kilat

Gambar Facebook.

KOTA KINABALU: Hujan lebat sejak 2 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandaraya ini dilanda banjir kilat dan puluhan kenderaan ditenggelami air.

Bomba Sabah dalam kenyataan berkata antara kawasan terjejas sekitar Hospital Queen Elizabeth I, serta beberapa kawasan lain di Tanjung Aru, Lido, dan Maktab Sabah.

“Bomba setakat ini ada menerima panggilan di satu, dua tempat yang terlibat banjir kilat dan kini pemantauan sedang dilaksanakan,” kata kenyataan itu.

Tinjauan Bernama juga mendapati beberapa kawasan lain seperti di Rugading, Telipok turut terjejas akibat banjir sehingga tidak dapat dilalui kenderaan, namun keadaan banjir berkenaan sudah beransur pulih.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran bahawa ribut petir dijangka berterusan di seluruh kawasan Sabah sehingga 8 malam tadi.