Putrajaya temui Australia tentang nadir bumi pada 20 Jun

Yeo Bee Yin.

MELBOURNE: Pegawai kerajaan Malaysia dan Australia akan bertemu bulan ini, menurut seorang jurucakap perlombongan negeri dan rancangan penyimpanan sisa nadir bumi Lynas di negara itu mungkin menjadi agenda utama.

Bill Johston, Menteri Perlombongan Australia Barat akan bertemu Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin di Perth pada 20 Jun ini, kata seorang jurucakap kementerian.

Lynas mahu memperbaharui lesen operasi loji pemprosesannya sebelum ia luput pada September. Lynas satu-satunya pengeluar nadir bumi yang terbukti di luar China.

Seluruh dunia tertumpu pada nadir bumi dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas media kerajaan China mencadangkan negara itu mungkin menghentikan pengeksportan galian itu yang penting untuk pertahanan Amerika Syarikat dan industri-industri lain.

China mengeluarkan kira-kira 85% logam strategik itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Khamis menjangkakan lesen operasi Lynas akan diperbaharui apabila ia luput pada September.

Bagaimanapun, kementerian Malaysia mahu membincangkan cara-cara menguruskan sisa radioaktif dari loji pemprosesan nadir bumi Lynas Corp di Malaysia, termasuk mengeluarkannya, kata jurucakap kementerian minggu lepas.

Australia menolak pengambilan balik sisa radioaktif rendah yang dikeluarkan loji pemprosesan Lynas di Malaysia yang bernilai AS$800 juta itu.

Desakan Malaysia menunjukkan kerajaan baru tidak sepakat mengenai masa depan Lynas di Malaysia.

Kementerian Malaysia pada Disember menetapkan syarat Lynas perlu mengeluarkan simpanan sisa-sisanya itu sebelum ia memperbaharui lesen operasinya.

Jurucakap kementerian hari ini berkata syarat-syarat itu masih kekal.