Sandakan akan memperingati peristiwa “66”

SANDAKAN: Lazimnya diadakan di Kota Kinabalu, upacara memperingati peristiwa “Double Six” ke-43 akan turut diadakan di Taman Chong Tien Vun pada Khamis.

Penganjurnya, Adun Elopura, Calvin Chong berkata masyarakat Sandakan dialu-alukan datang untuk memberi penghormatan sempena memperingati ulang tahun ke-43 nahas pesawat ringan itu, yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Fuad Stephens dan beberapa menteri negeri ketika itu.

“Upacara penghormatan akan bermula pada 9 pagi, dihadiri Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Frankie Poon, yang juga Adun Tanjung Papat, dan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong.

“Kehadiran orang ramai pada upacara ini akan memupuk nilai menghargai dan kasih sayang dalam kalangan generasi muda, khususnya di Sabah, terhadap sejarah Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada petang 6 Jun 1976, pesawat ringan jenis Nomad buatan Australia itu, yang membawa 11 penumpang dari Labuan ke Kota Kinabalu, terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.

Tiada mangsa terselamat dalam kejadian itu dan punca nahas kekal misteri.

Nama “Double Six” sempena tarikh kejadian yang berlaku pada hari ke-6 pada bulan ke-6 tahun itu.