Bukan tak yakin, tapi kewangan jadi penghalang, kata usahawan B40

Redzuan Yusof (tengah) melawat lelongan minyak masak selepas merasmikan Bazar Jualan Harga Patut di Putrajaya, pada 25 Mei lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Faktor kewangan ialah penghalang utama untuk kebanyakan individu menceburi bidang perniagaan, bukannya tiada keyakinan diri atau bimbang gagal menyaingi usahawan lain seperti dinyatakan Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Yusof.

Fatin Afeeqa berkata, faktor kewangan menjadi penghalang beliau membuka kedai roti sendiri pada usia 26 tahun.

“Saya bukan datang daripada keluarga kaya. Bapa saya seorang guru dan ibu saya seorang suri rumah. Mereka mempunyai 4 anak perlu dibesarkan, termasuk saya.

“Saya tidak dapat menggunakan simpanan untuk melabur kerana ada keutamaan lain yang perlu didahulukan” katanya kepada FMT.

Lima tahun kemudian, hasrat Fatin kini menjadi kenyataan. Bagaimanapun, beliau mendapati sukar untuk mengekalkan perniagaan kerana sering berdepan bermacam cabaran.

“Bukan semua orang mempunyai sokongan kewangan jika perniagaan mereka gagal,” katanya sambil menambah ia lebih sukar bagi golongan berpendapatan rendah (B40).

Ahad lalu, Redzuan dilaporkan berkata, tidak yakin dengan kebolehan diri antara punca golongan B40 enggan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

Katanya, golongan itu sering bimbang akan gagal menyaingi usahawan lain di peringkat awal perniagaan.

Tetapi, Fatin berkata, ramai kawannya enggan menjadi usahawan disebabkan kebimbangan kewangan.

“Sudah tentu orang tidak yakin menjadi usahawan, khasnya mereka yang datang daripada kumpulan B40. Saya pun takut dengan apa yang lakukan sekarang.”

Nurul Diyana yang memilik perniagaan sendiri 4 tahun lalu bersetuju masalah utama khasnya bagi B40 ialah kekurangan modal untuk memulakan perniagaan.

Wanita berusia 27 tahun itu berkata, ia memerlukan sedikit masa untuk membina pangkalan pelanggan dan memperluaskan perniagaannya.

Tetapi, peringkat permulaan tidak lagi sukar dengan adanya bantuan media sosial untuk usahawan mempromosikan produk mereka.

“Sudah tentu ada banyak yang perlu dipertimbangkan. Ia satu risiko dan bankrap ialah hakikat bagi sesetengah orang,” katanya yang mempromosikan makanannya di media sosial.

Shahid Rosli, 23, juga tidak bersetuju kurang keyakinan ialah punca B40 tidak menceburi bidang keusahawanan.

Katanya, ramai yang tidak mempunyai pendapatan tinggi dan kekurangan modal untuk memulakan perniagaan.

“Mungkin mereka ialah punca pendapatan bagi keluarga mereka, itu sebabnya mereka tidak boleh mengambil risiko.

“Jika mereka gagal, seluruh keluarga akan terjejas.

“Ada banyak risiko perlu dipertimbangkan, seperti saingan dengan usahawan dari kelas atasan yang sudah mempunyai asas kukuh dalam perniagaan dan rangkaian besar.”

Katanya, walaupun kerajaan turut membantu rakyat memulakan perniagaan mereka, tetapi bukan semua maklumat mengenai bantuan itu mudah diperolehi orang ramai.

“Kerajaan sepatutnya menyediakan satu platform yang mudah diakses semua orang dan mewujudkan satu modul khas menyasarkan golongan B40.

“Mereka yang datang daripada kelas atasan tidak boleh mendapat manfaat daripada platform itu.”

Sulochana Nair, pengarah Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan Universiti Malaya, berkata bukan semua B40 tergolong dalam kumpulan sama.

Katanya, bukan semua orang daripada golongan B40 boleh menjadi usahawan kerana ada yang tiada hasrat berniaga.

“Kementerian dan agensi cuba mempromosi dan melahirkan usahawan dalam kalangan B40 yang perlu menentukan siapa di antara mereka yang boleh menjadi usahawan.”

Beliau ingin tahu kumpulan kecil mana dalam golongan B40 yang akan disasarkan.

“Atas, tengah atau bawah? Ini penting kerana kumpulan kecil ini mempunyai keperluan berlainan dan memerlukan pendekatan berbeza.”

Kepelbagaian B40 perlu diambil kira dan beliau menasihatkan kerajaan membahagikan mereka dalam kumpulan berbeza berdasarkan faktor seperti lokasi geografi, status pendapatan dan tahap pendidikan.

“Penting untuk mengenal pasti mereka yang mempunyai kebolehan dan potensi untuk menjadi usahawan.

“Selepas mereka dikenal pasti, ada keperluan mewujudkan kesedaran di kalangan mereka yang mereka boleh berjaya sebagai usahawan serta memanfaatkan peluang sedia ada serta baru.”

Sulochana turut mencadangkan “beberapa bentuk bantuan” diberikan kepada usahawan baru di peringkat permulaan.

“Ia penting untuk menghubungkan usahawan baru dengan pasaran dan usahawan berjaya dalam industri sama.”