Juadah wajib ada pada Aidilfitri

Bila tiba hari Raya, ada beberapa menu makanan yang pastinya menjadi pilihan majoriti rakyat Malaysia.

Tidak kira negeri mana, pasti menu ini akan menjadi juadah utama untuk hidangan hari Raya masing-masing.

Berikut adalah senarai menu makanan yang kebiasaannya ada pada hari Raya.

1. Ketupat

Ketupat sejenis makanan daripada nasi dan pulut yang dibungkus dengan daun kelapa.

Terdapat beberapa jenis ketupat yang ada iaitu ketupat pulut, nasi dan ketupat palas.

Ketupat pulut ialah ketupat yang menggunakan pulut sebagai bahan isinya, ketupat nasi ialah ketupat yang menggunakan nasi sebagai bahan isinya.

Sementara ketupat palas pula ketupat yang menggunakan daun palas sebagai pembungkusnya dan lazimnya digunakan untuk membalut ketupat pulut.

Bentuk ketupat biasanya segi 3 dan ketupat moden pula berbentuk segi 4, dikenali sebagai simbol hari perayaan Hari Raya di Malaysia.

2. Lemang

Lemang menggunakan beras pulut dan santan yang dimasukkan ke dalam ruas buluh yang dilapik dengan daun pisang dan dibakar sehingga masak.

Ia boleh dimakan dengan rendang atau serunding.

3. Rendang

Ia menggunakan bahan seperti santan, lada, bawang, daun kunyit, daun limau purut dan kerisik untuk memasak rendang.

Daging batang pinang atau daging ayam selalu digunakan sebagai bahan utama masakan rendang.

Kebiasaannya ia dimakan bersama lemang, nasi, ketupat dan pulut kuning.

4. Serunding

Serunding ini dibuat dengan rempah dan dimasak sehingga kering, namun kadangkala ianya berminyak supaya tahan lama bagi serunding daging.

Banyak jenis serunding seperti serunding daging, ayam, ikan, udang dan ikan bilis dan ia dimakan bersama nasi himpit, ketupat dan lemang.

5. Biskut Raya

Terdapat pelbagai jenis kuih raya yang ada pada musim perayaan, antara yang popular ialah biskut cornflakes, biskut kacang, kuih bahulu dan banyak lagi.

6. Nasi himpit dan kuah kacang

Nasi himpit ialah nasi yang dihimpit atau ditekan di dalam bekas sehingga menjadi ketulan yang besar. Ianya kemudian dipotong menjadi kecil.

Kuah kacang pula terdiri daripada bahan seperti mentega kacang, santan, kicap, halia, bawang putih dan rempah.

7. Sate

Ia merupakan kepingan daging atau ayam yang dicucuk pada lidi dan dibakar di atas api arang kayu.

Banyak jenis sate ada di Malaysia sate ayam, sate daging, sate arnab, sate ikan, sate pedal dan banyak lagi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]