Kertas putih pertahanan bincang semula ‘peranan sebenar’ tentera darat

(Gambar Bernama)

GERIK: Kertas Putih pertahanan yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini, antaranya akan membincangkan semula peranan sebenar tentera darat bagi mengelakkan tentera tidak terlatih terlibat dalam aktiviti pembanterasan jenayah, kata Panglima Tentera Darat, Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Beliau berkata tentera darat tidak mempunyai kuasa dan tidak dilatih dalam pembanterasan jenayah kerana ia di bawah kuasa dan tanggungjawab polis.

“Tugas tentera darat adalah untuk menjaga kedaulatan negara daripada sebarang ancaman luar dan kami sentiasa bersiap-siaga.

“Selain itu, pucuk kepimpinan TDM juga sedang mengkaji semula strategi dari segi pengawalan pos di kawasan operasi di sempadan negara,” katanya.

Hasbullah berkata, para pegawai dan anggota perlu berpindah-randah dari satu lokasi ke satu lokasi lain semasa dalam operasi bagi memastikan mereka dapat menguasai kawasan dengan lebih banyak, lebih tangkas dan mudah bergerak apabila dalam operasi.

Kertas putih berkenaan akan memberikan penerangan yang jelas mengenai peranan setiap agensi, organisasi dan rakyat dalam usaha menjaga keamanan negara.

Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen, Zulkifli Zainal Abidin berkata dengan adanya kertas berkenaan semua pihak termasuk polis dan agensi berkaitan akan mempunyai garis panduan yang jelas tentang tugas dan peranan masing-masing.

Pada Mac, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan perasmian Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) berkata, kertas putih pertahanan itu adalah sumbangan penting kepada landskap pertahanan Malaysia.

Terdahulu, Hasbullah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama warga tentera di Kem Sri Banding.