Lebih 14,000 kenderaan kemalangan dalam 7 hari Op Selamat Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Sejumlah 11,927 kemalangan jalan raya membabitkan 14,689 kenderaan dilapor dalam tempoh tujuh hari sejak Op Selamat 15 sempena Aidilfitri dilancarkan pada 29 Mei lepas.

Ketua Komunikasi Korporat Polis, Asmawati Ahmad berkata seramai 120 orang maut akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh itu.

Menurutnya, Selangor merekodkan jumlah kemalangan paling tinggi iaitu 3,429 kes, diikuti Johor 1,828 kes, Kuala Lumpur 1,535 kes dan Pulau Pinang 1,034 kes.

“Sebanyak 2,162 operasi dijalankan di seluruh negara dengan 170,965 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi kes pecah rumah dan premis pula, 293 kes direkod dalam tempoh tujuh hari Op Selamat di seluruh negara.

Op Selamat 15/2019 bermula 29 Mei hingga 12 Jun memberi tumpuan kepada 6 kesalahan utama iaitu memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.