Lebih wajar tribunal daripada RCI siasat salahlaku hakim, kata peguam

PETALING JAYA: Seorang peguam mencadangkan penubuhan sebuah tribunal untuk menyiasat dakwaan salahlaku hakim adalah lebih wajar berbanding sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI).

K Balaguru berkata dakwaan itu, yang dibuat oleh seorang hakim, ditujukan terhadap anggota-anggota badan kehakiman tertentu dan bukannya terhadap keseluruhan badan kehakiman.

Beliau berkata sebuah RCI tidak akan dapat siasat orang-orang perseorangan. “Badan kehakiman itu sendiri tidak boleh melakukan salahlaku,” katanya.

“Kalau seorang menteri didapati bersalah, adakah kamu akan kata kerajaan perlu disiasat? Bukan begitu caranya. Jadi, saya cadangkan sebuah tribunal.”

Balaguru berkata sebuah tribunal boleh mengemukakan syor-syor kepada Agong tentang sama ada seorang hakim perlu disingkirkan atau tidak. Keputusan terserah kepada Agong, katanya.

“Sebuah RCI pula nampak seperti tidak menghukum atau mengemukakan syor-syor sebaik sebuah tribunal. RCI tidak sepatutnya menyiasat salahlaku hakim – itu tugas tribunal,” katanya.

Beliau mengingatkan Perlembagaan Persekutuan sudah menetapkan bagaimana menangani salahlaku hakim, dan tertanya apakah yang perdana menteri dan menteri undang-undang mahu daripada RCI.

“Saya yakin peguam negara sedar salahlaku hakim bukan salahlaku badan kehakiman.

“Salahlaku hakim adalah salahlaku oleh seorang hakim. Badan kehakiman tidak boleh melakukan salahlaku.”

Terdahulu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan menubuhkan RCI, kerana sebahagian besar rakyat mahukan sebuah suruhanjaya siasatan diraja.

Jemaah menteri bersetuju dengan penubuhan sebuah RCI sejak 3 bulan lepas susulan afidavit oleh seorang hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer mengenai dakwaan salahlaku oleh beberapa hakim yang tidak dinamakan.

Hamid mendakwa hakim-hakim kanan campur tangan dalam keputusan rayuan dan bersubahat dalam penipuan yang dilakukan oleh calon-calon ahli politik yang mempunyai kontrak dengan kerajaan.

RCI bazir wang

Peguam, A Srimurugan pula menyuarakan pandangan berbeza. Beliau berkata tribunal tidak perlu ditubuhkan kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa untuk menyiasat dan mengumpul bukti.

“Sebuah tribunal tidak boleh ditubuhkan tanpa peruntukan atau undang-undang yang membolehkan ia ditubuhkan,” katanya.

“Sebuah tribunal hanya boleh dtubuhkan untuk menyingkir seorang hakim sekiranya ada dakwaan salahlaku hakim.”

Beliau juga mengkritik keputusan kerajaan menubuhkan RCI, mengatakan ia hanya membazirkan wang pembayar cukai.

Beliau berkata SPRM boleh mengesyorkan peguam negara membuat pendakwaan jika terdapat bukti mencukupi yang mengesahkan dakwaan-dakwaan rasuah.

“Tiada keperluan untuk menubuhkan RCI kerana dakwaan itu sudah diketahui umum,” katanya.

“SPRM harus menemubual Hamid dan memperoleh bukti-bukti dakwaan itu daripadanya,” katanya, merujuk kepada kenyataan Hamid bahawa dia hanya akan memberi keterangan di RCI.

Beliau mengingatkan penubuhkan sebuah RCI, sedangkan sudah ada mekanisme untuk menyiasat jenayah-jenayah seperti itu, boleh dilihat sebagai campurtangan eksekutif.

“Lebih baik sebuah badan bebas mengambil tindakan-tindakan sewajarnya.”

Beliau juga mempersoalkan adakah RCI akan membuahkan hasil, mengatakan “tidak banyak hasil” daripada inkuiri ke atas kes VK Lingam pada 2007 yang menyiasat dakwaan campurtangan dalam proses pelantikan hakim.

Mandat

Peguam Lim Wei Jiet pula menjelaskan terdapat perbezaan antara siasatan RCI dengan polis dan SPRM.

Beliau berkata RCI mempunyai mandat lebih luas untuk membuat syor-syor bagi menambahbaik integriti kehakiman.

Sementara itu, Balaguru tidak bersetuju dengan Liew yang memberi bayangan bahawa penangguhan RCI adalah wajar memandangkan bekas ketua menteri Sabah, Yong Teck Lee memfailkan saman pemula.

“Kalau Yong mahu, dia boleh mohon perintah injunksi, tetapi kalau dia mahu hentikan RCI dia perlu dapatkan perintah mahkamah. Jadi, Liew tidak perlu pertimbangkan saman pemula itu,” katanya.

Yong memulakan tindakan undang-undang pada April bagi menghalang kerajaan menubuhkan RCI. Dia mahu mahkamah mengisytiharkan keputusan kerajaan menubuhkan RCI adalah tidak berperlembagaan dan melanggar prinsip pemisahan kuasa.

Lim juga tidak bersetuju dengan cadangan Liew bahawa kerajaan menunggu hasil saman pemula Yong itu, mengatakan tiada keperluan undang-undang untuk itu kerana tiada penangguhan diberikan Mahkamah Tinggi sementara menunggu apa-apa keputusan.

Beliau menambah isu-isu perbalahan seperti ini boleh membawa ke Mahkamah Persekutuan, yang boleh mengambil masa bertahun untuk selesai.

“Saya tak rasa ia bertepatan dengan kehendak orang ramai yang mahukan reformasi badan kehakiman dan keputusan Kabinet yang dicapai pada Februari tahun ini,” katanya.