Pelantikan Latheefa tak bincang dalam Kabinet, kata menteri

Latheefa Koya dilantik mengetuai SPRM selama 2 tahun berkuatkuasa 1 Jun lalu.

PUTRAJAYA: Anggota Kabinet mengalu-alukan pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, walaupun mereka tidak dimaklumkan perkara itu terlebih dahulu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata pelantikan Latheefa tidak dibincangkan dalam Kabinet.

Tetapi, beliau tidak terkejut dengan pelantikan itu dan memuji Latheefa seorang yang berkebolehan, berpengalaman dan sangat memahami undang-undang.

“Kami mengalu-alukan pelantikannya. Ada banyak yang perlu dilakukannya dan sudah tentu ia adalah tanggungjawab besar,” katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri perdana menteri dan anggota Kabinet di Seri Perdana hari ini.

Mengenai dakwaan Latheefa tiada pengalaman mencukupi untuk menerajui SPRM, Gobind berkata beliau juga tiada pengalaman sebagai menteri, tetapi percaya semua perkara ada titik permulaan.

Katanya, beliau mengenali Latheefa sejak mereka berdua menjadi pengamal guaman dan berharap bekas pengarah eksekutif Lawyers for Liberty itu diberikan masa untuk melakukan yang terbaik dalam menggalas tanggungjawab barunya.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Latheefa selama 2 tahun berkuatkuasa 1 Jun lalu.

Beliau menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memohon kontraknya dipendekkan lebih awal daripada yang sepatutnya pada 17 Mei 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution tiada masalah dengan pelantikan Latheefa, tetapi partinya tidak tahu mengenai perkara itu.

“Kami tidak sedar, tidak diberitahu mengenainya. Ia tidak dibincangkan dalam Majlis Presiden.”

Ditanya jika parti itu akan mengadakan mesyuarat khas mengenai pelantikan itu, katanya, biar Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Saifuddin Abdullah, tentukannya.

“Kami akan patuhinya,” kata setiausaha agung PKR itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali juga tidak tahu mengenai pelantikan itu sehingga media melaporkannya kerana sebelum ini beliau ke Makkah menunaikan umrah.

Timbalan presiden PKR itu percaya pelantikan Latheefa dibuat berdasarkan merit, bukannya kerana ideologi politik.

Beliau berkata, Latheefa sudah lama tidak aktif dalam PKR kerana terlalu sibuk dengan kerja guaman di mahkamah.