Rakyat mahu RCI siasat salah laku kehakiman, kata PM

Orang ramai bersalaman dengan Mahathir Mohamad pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anggota Kabinet di Seri Perdana hari ini.

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad menolak cadangan menubuhkan tribunal untuk menjalankan siasatan dalaman ke atas dakwaan salah laku dan campur tangan dalam badan kehakiman.

Perdana menteri berkata, ada banyak pandangan berbeza diterima kerajaan, tetapi sebahagian besar rakyat mahukan suruhanjaya siasatan diraja yang akan memulakan prosiding tidak lama lagi.

“Dan kita sangat respons kepada idea dan pandangan rakyat,” katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anggota Kabinet di Seri Perdana hari ini.

Beliau mengulas cadangan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram supaya kerajaan menjalankan inkuiri dalaman ke atas dakwaan salah laku badan kehakiman.

Jika hasil siasatan afirmatif, Gopal berkata, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat boleh mencadangkan perdana menteri mengikut Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan untuk Yang di-Pertuan Agong menubuhkan tribunal bagi membicarakan hakim terbabit.

Katanya, hakim terbabit mempunyai peluang kedua untuk mempertahankan diri dalam tribunal itu.

Ditanya jika RCI patut ditubuhkan, Mahathir berkata: “Apa yang saya percaya atau tidak, tidak penting. Yang penting ialah apa yang rakyat mahukan.

“Jadi…jangan tanya saya kerana saya berhak atas pendapat saya. Saya perlu respons kepada pandangan orang ramai.”

Pada 20 Februari lalu, Mahathir mengumumkan Kabinet bersetuju menubuhkan RCI untuk menyiasat dakwaan salah laku badan kehakiman.

Ia susulan pendedahan Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer melalui afidavit sokongan 65 muka surat difailkan pada 14 Februari lalu, yang mendakwa hakim kanan campur tangan dalam keputusan beberapa rayuan dan bersubahat dalam penipuan dilakukan penama ahli politik yang menandatangani kontrak dengan kerajaan.

Beliau mendakwa sebaik saja kerajaan membatalkan perjanjian itu, pihak swasta akan mengheret kerajaan ke mahkamah untuk menuntut pampasan.

Hamid turut mendakwa pihak swasta terbabit mereka kontrak itu dengan kerajaan untuk menipu dana awam dan mahkamah tinggi diperdaya untuk bersimpati dengan mereka.

Terdahulu, Mahathir berkata, siasatan salah laku badan kehakiman belum dimuktamadkan selepas lebih 3 bulan kerajaan bersetuju menubuhkan RCI untuk menyiasat campur tangan dalam keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Ia termasuk campur tangan dalam keputusan rayuan kes hasutan mendiang Karpal Singh di Mahkamah Rayuan.