Semoga keluarga Adib tabah, Najib doakan di malam raya

PETALING JAYA: Ketika rakyat bersiap sedia menyambut Aidilfitri esok, Najib Razak malam tadi mendoakan keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim supaya tabah mengharungi kehilangan orang tersayang.

Bekas perdana menteri itu, dalam ucapan hari raya yang ditonton lebih 70,000 orang di Facebook, mengingatkan penontonnya betapa penting inkues punca kematian anggota bomba itu dalam usaha mencari kebenaran.

Adib, 24, meninggal dunia selepas mengalami kecederaan dalam peristiwa rusuhan kuil Seafield pada November tahun lepas. Beliau juga merancang mendirikan rumah tangga pada Disember tahun itu.

“Satu nyawa sudah hilang, kini hanya keadilan sahaja yang tinggal buat Adib,” katanya.

Najib berkata demikian kerana masih terbayangkan keadaan Adib sewaktu menziarahinya di hospital, dan menyampaikan simpatinya pada keluarga anggota bomba itu atas kehilangan mereka.

Bekas perdana menteri itu menarik perhatian penontonnya kepada penarikan diri peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan keluarga Adib daripada inkues itu.

Beliau menggesa pentadbiran Pakatan Harapan supaya bersikap telus dan jujur dalam menjawab persoalan-persoalan tentang kematian Adib.

“Difahamkan peguam negara tidak berpuas hati dengan peguam mewakili KPKT dan keluarga Adib, kerana sering bercanggah dengan hujah dan pendapat Jabatan Peguam Negara.

“Bukankah sama objektif dan dalam inkues ini kita ingin tahu kebenaran?” katanya.

Nasib peneroka, pekerja

Najib turut bercakap mengenai keadaan para pekebun kecil dan peneroka yang terjejas kerana kemerosotan industri sawit sekarang ini.

Beliau terbayangkan kesusahan mereka pada Aidilfitri tahun ini.

“Hari ini kedengaran rayuan peneroka dan pesawit yang harapkan bantuan. Rayuan ini termasuk dibuat pemimpin NGO Felda, yang dahulunya bersungguh-sungguh sentiasa salahkan kerajaan semasa Barisan Nasional (BN) memerintah dahulu.”

Najib turut menarik perhatian penontonnya kepada nasib bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dikatakan tidak terbela.

Beliau mendakwa bekas-bekas pegawai SPAD yang ditamatkan perkhidmatan mereka “antara mangsa penganiayaan kerajaan PH”.

“Malah dihina lagi oleh kerajaan dengan tawaran kerja yang tidak setimpal dengan kelayakannya dan ditempatkan jauh dari keluarga tercinta,” katanya.

Najib juga difahamkan ribuan bekas penjawat awam yang dahulu setia membantu pentadbiran kerajaan turut menghadapi kesusahan sekarang ini.

“Jika dibaca di surat khabar, pekerja swasta tidak terlepas juga. Kakitangan Astro, PayPal dan DRB Hicom, malah organisasi media sendiri termasuk TV3 dan Utusan,” katanya.

Sementara itu, Najib sempat berpesan kepada rakyat yang pulang ke selatan Semenanjung, khususnya ke Simpang Renggam, Johor jangan lupa menuntut bayaran tol daripada pejabat ahli Parlimen mereka.

“Jangan lupa, nanti petrol mungkin diisi dengan RM1.50 seliter,” katanya.