Suasana 1 Syawal bersama keluarga tercinta

Apabila menjelang musim perayaan pelbagai perkongsian cerita akan berlaku, bukan sahaja golongan muda tapi semua lapisan masyarakat.

Masing-masing mula berkongsi pengalaman yang sentiasa segar dalam ingatan.

Walaupun memori itu sudah lebih 10 tahun berlalu, zaman kanak-kanak menjadi saat terindah dan tidak mungkin dilupakan kerana tradisi yang dilakukan ketika itu sudah ditelan zaman.

Jika diperhatikan, golongan muda kini seolah-olah kurang bersosial dan kekok menerima kunjungan tetamu.

Mereka lebih memilih menghabiskan masa dengan melayani telefon pintar masing-masing.

Selain itu, budaya balik kampung untuk menyambut Aidilfitri memberikan kelainan dan memori tersendiri kerana itu adalah peluang berkumpul dengan semua saudara-mara yang jarang bertemu.

Walaupun ada segelintir anggota masyarakat tidak mempunyai kampung kerana ibu bapa menetap di bandar, kemeriahan menyambut Syawal tetap diteruskan dengan mengunjungi rumah ibu bapa pada hari raya pertama.

BERGEMBIRA

Selepas sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, hari raya adalah hari kejayaan dengan kegembiraan penuh kemeriahan.

Dan suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat.

Di Malaysia, kegembiraan sambutan Aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju baru, seluruh ahli keluarga berkumpul dan ziarah-menziarah sesama umat Islam.

Pada awal pagi semua umat Islam akan pergi menunaikan solat sunat Hari Raya dengan memakai baju raya yang dibeli lebih awal sebagai tanda kemenangan sebulan berpuasa.

BERMAAF-MAAFAN

Ucapan “maaf zahir dan batin” menjadi sebati dalam diri setiap orang setiap kali menyambut Aidilfitri.

Walaupun berasakan begitu sukar untuk memaafkan dan masih terbawa-bawa kesilapan yang dilakukan terhadap kita tapi tidak salah sekiranya kita memulakan kata maaf kerana ia boleh mengelak sesuatu hubungan terjejas.

Dan ketika inilah juga anak-anak akan berkumpul dan bersalam-salaman bersama ibu bapa dan keluarga, memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan dulu.

Kebiasannya selepas itu, sesi bergambar akan diadakan bagi menyimpan segala memori bersama keluarga dan dikongsi bersama dalam laman sosial Facebook mahupun Instagram.

MENZIARAHI ANTARA SATU SAMA LAIN

Amalan saling menziarahi rumah terutama dalam kalangan saudara-mara terdekat dan sahabat handai adalah suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Aidilfitri.

Kebiasaannya rutin wajib ini menjadi semakin meriah apabila membabitkan ahli keluarga, saudara atau kenalan yang tinggal berjauhan dan jarang pulang menjadikan hari raya sebagai hari menziarahi kenalan.

Dalam bab menziarah, kebiasannya kunjungan akan dibuat sehingga waktu malam pada minggu pertama raya Aidilfitri.

Ini kerana sanak saudara akan menggunakan sebaiknya masa yang ada kerana tempoh cuti.yang diberikan adalah terhad.

Jadi manfaatkan sebaiknya!

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]