Suspek kes hentak cermin kereta dengan parang ditahan

(Gambar Facebook)

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang ditahan semalam berhubung kes menghentak cermin hadapan kereta seorang pengguna jalan dengan parang di Lebuhraya Pasir Gudang, Isnin lalu, merupakan seorang ahli kumpulan penjenayah yang sedang diburu polis.

Ketua Polis Johor, Mohd Khalil Kader Mohd, berkata suspek berusia 31 tahun itu ditahan di kawasan sekitar Simpang Renggam pada sekitar 5.30 petang.

Beliau berkata suspek ditangkap bersama 3 lagi ahli kumpulan berusia 26 hingga 40 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes samun manakala seorang suspek yang mengugut pengguna jalan itu pada hari kejadian sedang diburu.

“Tertangkapnya semua suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 11 kes jenayah samun di sekitar daerah Johor Bahru Selatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Suspek direman selama 5 hari bermula hari ini sehingga 9 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Kes juga akan disiasat bawah Seksyen 395/397 kanun sama kerana menyamun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, klip video tindakan 2 lelaki mengugut dan menghentak cermin kereta seorang pengguna jalan tular di media sosial sejak hari kejadian itu.

Insiden itu dipercayai berlaku susulan rasa tidak berpuas hati kerana suspek tidak diberi ruang untuk memotong dalam keadaan jalan sesak.