Telekom akan dapat CEO baru, tapi bukan Imri, kata Dr M

Pemangku CEO TM, Imri Mokhtar. (Gambar Twitter)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan ketua pegawai eksekutif baru Telekom Malaysia (TM) sudah dilantik. Pengesahan ini menyusuli dakwaan pelantikan itu menemui kebuntuan.

Mahathir bagaimanapun enggan menamakan orang itu, hanya mengatakan ia bukan pemangku CEO, Imri Mokhtar.

“Dia sudah dilantik. Kita belum umumkan lagi, tetapi saya fikir dia sudah dilantik,” katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Kompleks Seri Perdana hari ini.

Menurut akhbar The Edge, adalah didakwa pengerusi TM, Rosli Man enggan meneruskan pelantikan Imri sebagai CEO.

Rosli dipetik sebagai berkata dia diminta Pejabat Perdana Menteri untuk menangguhkan pelantikan CEO kumpulan itu.

Keputusan untuk melantik Imri dibuat oleh oleh pemegang saham istimewa, Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MKD.

Sejak Jun tahun lepas, TM tiada CEO selepas Mohammed Shazalli Ramly meletak jawatan. Beliau juga penasihat media kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

TM adalah syarikat berkaitan kerajaan dan Khazanah Nasional Bhd memiliki 26% kepentingan.

MKD memiliki saham istimewa yang memberikannya kuasa untuk membuat keputusan-keputusan tertentu.