2 beradik gelandangan harap bapa datang bawa pulang beraya

Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur pernah menjadi ‘syurga’ buat Ayi dan abangnya.

PETALING JAYA: Tiada baju baru, tiada juadah dan tiada sanak saudara menjadi kebiasaan kepada golongan gelandangan yang menyambut perayaan di tengah-tengah ibu kota.

Saban hari, laluan pejalan kaki, kaki lima dan ruang di bawah jambatan sudah menjadi “kediaman” rasmi mereka. Keadaan itu tetap sama meskipun menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Baru-baru ini, FMT meninjau sekumpulan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur bagi merungkai rasa hati mereka mengenai bentuk sambutan hari raya yang diimpikan.

Mengakui dirinya masih belum dapat menerima hakikat menjadi gelandangan, seorang lelaki berusia 19 tahun hanya mahu dikenali sebagai Ayi berkata, dia pernah tidur di bawah lampu isyarat berhampiran kawasan Pasar Seni beberapa hari sebelum hari raya Aidilfitri sebelum ini.

Apabila ditanya, mengapakah dia berbuat sedemkikian sedangkan perbuatan itu boleh membahayakan diri dan berisiko untuk diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sekumpulan gelandangan menumpang teduh berdekatan Pasar Seni.

Kata Ayi, sejak 8 tahun lalu, setiap kali tiba bulan puasa, dia akan berbuat demikian dengan harapan ayahnya akan datang mencarinya dan membawanya pulang ke rumah.

“Kalau saya duduk di kawasan tempat saya dan abang selalu tidur, ayah mesti tak nampak. Sebab kawasan tu kat belakang sana,” katanya sambil menunding jari ke arah satu lorong kecil di sebalik kedai menjual peralatan memancing berhampiran Pasar Seni Kuala Lumpur.

Penulis menjadi sebak apabila Ayi berkongsi kisah hidupnya.

Kehilangan seorang ibu pada usia 3 tahun menjadikan dia dan abangnya anak yang terbiar. Lebih malang apabila ayahnya berkahwin baru ketika dia berusia 8 tahun. Ayahnya berubah sikap menjadi bapa yang pemarah dan kaki pukul.

“Saya selalu ditengking ayah sejak usia 4 tahun. Ayah juga jarang balik ke rumah lepas ibu meninggal. Hanya ibu saudara dan bapa saudara yang datang melawat seminggu sekali.

“Selepas ayah kahwin, ayah selalu pukul kami 2 beradik. Saya dan abang selalu ponteng sekolah sebab ayah tidak pulang ke rumah untuk hantar kami ke sekolah,” katanya perlahan.

Ayi kemudiannya mengikut abangnya lari ke Kuala Lumpur tanpa mengetahui ke mana hala tuju mereka di kota itu.

“Satu hari tu, balik sekolah, abang bawa saya pergi stesen bas. Kami tukar baju kat situ dan naik satu bas lain. Saya tanya abang, ke mana kami mahu pergi. Abang tidak menjawab.

“Beberapa jam dalam bas, kami sampai ke Kuala Lumpur. Tiada tempat tinggal, kami tidur di tepi jalan. Depan farmasi,” katanya sambil menambah beza usia beliau dengan abangnya 4 tahun.

Ayi berkata, dia dan abangnya berhijrah ke KL pada usia yang sangat muda dan tidak mengingati beberapa perkara seperti alamat penuh rumah ayanhnya.

Kata Ayi, dia hanya mengetahui dirinya berasal dari Kubang Pasu, Kedah. Namun, dia tidak boleh mengingati kedudukan asal rumah ayahnya. Meskipun beberapa kali bertanya kepada abangnya, dia gagal mendapat jawapan.

Mahu melawat pusara ibu

Kata Ayi, sejak 8 tahun lalu, dia mengimpikan untuk pulang ke kampung ibu di Kinta, Perak untuk melawat pusaranya.

“Sebagai anaknya, saya teringin sungguh melawat pusara ibu. Bacakan Yassin dan doa di kuburnya. Tapi kami tak boleh balik. Abang tak ingat rumah saudara mara kami. Kami cuma tahu ibu asal dari sana sahaja.

“Kalau kami pergi cari sekalipun, di mana kami nak tinggal? Mandi dan makan? Duit pun tak ada,” katanya sambil tersenyum sendiri dan mengelak pandangan penulis ke matanya.

T-shirt baru sebagai baju raya

Selepas 8 tahun “menghuni” jalanan di ibu kota negara, Ayi berkata dirinya pernah dibuang kerja lebih 10 kali.

“Saya kerja lepas 4 bulan datang sini. Kerja basuh pinggan di kopitiam milik seorang tauke Cina. Bayaran hari sebanyak RM30. Saya dibuang kerja selepas anak lelakinya ambil alih.

“Selepas itu saya pernah kerja di tempat basuh kereta, cuci pinggan mangkuk di restoran mamak dan juga pernah ambil upah angkut sampah di restoran besar dan bawa ke tepi simpang sebelum diangkut oleh lori sampah bandar raya,” katanya sambil menambah dia masih belum mendapat pekerjaan baru selepas dibuang kerja April lalu.

Jelasnya, dia dibuang kerja kerana tidak mempunyai asas matematik yang baik untuk menjalankan tugas sebagai pembantu kedai makan.

Bagaimanapun, keadaanya bernasib baik kerana abangnya masih bekerja sebagai pembantu kedai makan di sekitar kawasan itu. Kata Ayi, pendapatan abangnya sekitar RM700 sebulan.

“Duit itulah kami buat beli baju raya nanti. Cukuplah sekadar t-shirt harga RM30-RM50 2 helai. Lebihnya kami simpan untuk tampung belanja makan minum bulan ini,” katanya.

Penulis berkesempatan bertanyakan abang Ayi yang ditemui beberapa jam selepas perbualan berlangsung.

Dia yang enggan dikenali mengaku dirinya dibelenggu rasa bersalah kerana mengheret adiknya ke jalanan, 8 tahun lalu. Namun, dia berikrar kepada dirinya untuk menjaga adiknya seluruh jiwa dan raga sehingga saat kematiannya nanti.

Dua gelandangan minum petang sambil berbual di celah-celah kesibukan kota raya di Sogo.

“Saya sudah tiada sesiapa di dunia ini. Adik saya itulah harta saya dunia dan akhirat. Apa sekalipun yang berlaku, saya tetap akan bersama dia.

“Apa sahaja yang dia minta saya akan usahakan meskipun saya kena kerja macam hamba abdi. Saya akan buat apa sahaja untuk adik saya bahagia,” katanya dengan memberitahu dia pernah menabung selama 7 bulan untuk membelikan Ayi sebuah telefon bimbit.

“Saya belikan Ayi telefon masa tahun 2017. Lepas dapat telefon tu, kehidupan dia berbeza sikit. Dia dah pandai berkawan dengan orang, tak berdiam diri seperti sebelumnya,” katanya sebelum menjauhkan diri untuk merokok.

Ayi menghampiri penulis sebelum penulis dan juruvideo beredar dari kawasan itu, dia membuat 2 permintaan.

“Kak, jangan tunjuk gambar saya ya, saya malu orang tengok saya (jadi) gelandangan.

“Lepas ni, kalau cerita saya keluar, kalau ayah saya komen di Facebook, tolong beritahu saya ya,” katanya separuh sayu.

Penulis menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan permintaannya. Sebelum masuk ke kereta, Ayi sempat memberikan kami senyuman di luar pintu kereta.

Kata-katanya perbualannya sangat menyejukkan hati. Meskipun kehidupan diuji sejak kecil, dia tidak pernah menyalahkan sesiapa pun, malah merindukan ayahnya yang didakwa punca mereka berdua hidup di jalanan.

Semasa berbual dengan abang Ayi, dia memberitahu bahawa adiknya itu sentiasa menunaikan salat malam. Memohon doa agar ayahnya berlembut hati untuk menjemput mereka pulang ke rumah dan menjalani kehidupan bahagia seperti keluarga lain.

“Mak saudara pernah datang jumpa saya di sini 3 tahun lepas. Pujuk kami balik dan tinggal bersamanya. Saya menolak kerana takut ayah akan datang mencari kami di rumahnya pula.

“Walau apa pun terjadi, saya hanya akan balik jika ayah benar-benar mahu kami semula. Saya rahsiakan pertemuan dengan mak saudara daripada pengetahuan Ayi. Risau jika dia mengamuk mahu pulang ke rumah,” kata abang Ayi.

Senyuman Ayi sebelum kami beredar bagai pengharapan besar dirinya kepada kami. Rasa rindu kepada penyatuan sebuah keluarga yang ditanggungnya seolah-olah terbayang di wajahnya.