2 kampung bertempur di hari raya kerana bunyi bising

PETALING JAYA: Seramai 700 orang dari Kampung Gunung Jaya di Sulawesi Selatan, Indonesia hari ini hilang tempat tinggal susulan pertempuran antara penduduk tempatan dengan orang dari kampung berdekatan, lapor media Indonesia.

Pertempuran tercetus selepas sekumpulan 40 penunggang motosikal dari Kampung Sampuabalo berarak memasuki kampung itu sempena Aidilfitri. Bunyi bising dari perarakan itu mengundang kemarahan penduduk, lapor Jakarta Post.

Kompas melaporkan sebanyak 87 rumah terbakar dalam kejadian yang bermula semalam.

“Mereka mengamuk, pegang parang panjang, kami tidak punya-punya hanya lari saja, rumahku dibakar sudah hangus,” kata seorang penduduk, Mira.

Mangsa sedang berlindung di Kampung Laburunci yang terletak 25km dari situ. Tiada kehilangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Polis dan tentera sudah dikerah ke tempat kejadian bagi menghentikan pertempuran itu.