Op Selamat: 20 kematian dicatat pada 1 Syawal seluruh negara

Sehingga semalam, polis menjalankan 2,385 operasi di seluruh negara dengan 182,755 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20 kematian yang membabitkan kemalangan jalan raya direkod Op Selamat pada 1 Syawal di seluruh negara.

Ketua Komunikasi Korporat Polis, Asmawati Ahmad berkata, sejak dilancarkan 29 Mei lepas, sejumlah 13,316 kemalangan jalan raya melibatkan 18,854 kenderaan dilapor dalam tempoh 8 hari.

Beliau berkata, seramai 140 orang maut akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh itu.

“Semalam, 4 kematian dilaporkan masing-masing di Kedah, Perak dan Johor, manakala 3 kematian di Selangor, 2 di Pahang dan masing-masing 1 kematian di Negeri Sembilan, Kelantan dan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehingga semalam, sebanyak 2,385 jumlah operasi dijalankan di seluruh negara dengan 182,755 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, katanya.

Tambahnya, bagi kes pecah rumah dan premis pula, 334 kes direkod dalam tempoh 8 hari Op Selamat di seluruh negara.

Op Selamat 15 hingga 12 Jun ini memberi tumpuan kepada 6 kesalahan utama, iaitu memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.