Pelancong asing dipelawa ke rumah terbuka Hari Raya di Sarawak

Tini Jali menjual pelbagai lauk-pauk di warungnya di Kampung Boyan, Kuching.

KUCHING: Pada musim raya di seluruh Malaysia, orang Islam berlumba-lumba mengadakan rumah terbuka dengan mempersilakan sanak saudara, jiran tetangga dan pelawat lain untuk menikmati pelbagai juadah istimewa di rumah masing-masing.

Kehadiran rakyat Malaysia bukan Islam ke rumah-rumah terbuka ini merupakan satu fenomena biasa.

Tini Jali bagaimanapun melangkah lebih jauh dengan menjemput pelancong asing yang melepasi rumahnya ke majlis yang diadakan.

Rumah Tini di Kampung Boyan, sebuah perkampungan tradisi Melayu dengan kira-kira 1,000 penduduk, di tebing sungai Sarawak terletak betul-betul bertentangan dengan tebingan sungai atau “waterfront” Kuching.

Kampung tersebut terkenal dengan kek lapis Sarawak dan ikan terubuk masin.

Ibu kepada 5 anak, Tini memberitahu FMT, “ramai pelancong datang dari Kuching dengan menaiki teksi sungai dan berjalan naik ke Kubu Margherita.”

Kubu bewarna putih itu dibina pada 1879 untuk mengawal Kuching daripada pencerobohan lanun. Banyak pertempuran berlaku di situ. Sejak 2016 ia menempatkan Galeri Brooke yang menyimpan hasil seni serta artifak dari zaman Rajah Putih. Ia merupakan lokasi tarikan wajib bagi kebanyakan pelawat.

Jalan naik ke Kubu Margherita di Kampung Boyan, Kuching.

“Laluan ke kubu itu melepasi rumah kami,” kata Tini.

“Setiap tahun semasa Hari Raya, ibu bapa saya akan melambai datang dan mempersilakan pelawat yang lalu ke rumah terbuka kami.

“Tahun lepas kami menerima kunjungan pelancong Barat dan China. Kami menghidangkan pelbagai makanan dan minuman tempatan,” katanya.

Menurut Tini, menjadi satu adat di Sarawkak untuk semua kaum dan agama menyambut Hari Raya bersama-sama.

“Orang Melayu, Iban, Bidayuh, Cina dan kaum lain termasuk orang Barat datang untuk beraya dan menikmati masakan tempatan kami.”

Tini, seorang tukang masak di sebuah restoran di sini berkata, sewaktu restoran ditutup pada siang hari sepanjang bulan Ramadan, beliau menghabiskan masa di rumah menyediakan pelbagai juadah Hari Raya.

“Kami ada ketupat lemang, nasi minyak dan daging masak kicap.”

Pelawat asing biasanya sangat mengemari masakan kari ayam beliau kerana ia merupakan pengalaman kali pertama mereka menikmati masakan tradisional versi Melayu itu.

“Sebagai pencuci mulut yang lebih manis, kami menyajikan kes lapis Sarawak. Ada kek lumut, kek masam manis dan kek Holiday Inn.”

Ramai pelawat datang untuk merasai “umai”, satu juadah tradisi popular pada bulan Ramadan. Ia berasal daripada komuniti Melanau, salah satu kumpulan etnik paling awal yang menetap di Sarawak.

“Terdapat beberapa jenis umai. Antaranya kami ada umai kaki ayam, umai ikan pirang dan umai obor-obor.

Tini turut mengongsikan resipi umai obor-obor yang dipelajari daripada ibunya.

“Tak susah nak buat. Cuma rendam obor-obor asin dalam air panas. Setelah lembut, keluarkan dan gaul dengan bawang merah, bawang putih, bawang besar, chili, gula dan jus limau.”

Kawasan perkampungan bertukar indah bagi menyambut Hari Raya. Biasanya penduduk kampung akan menghiasi rumah masing-masing dengan pelita minyak dan lampu berwarna-warni.

“Dulu semua orang menghias semula rumah untuk Raya. Bau cat baru boleh dihidu di seluruh kampung. Sekarang tidak semua berbuat begitu. Mungkin sebab duit agak susah. Kami terpaksa mengikat perut dan berjimat di mana boleh,” katanya.

Tetapi kepelbagaian juadah yang disajikan semasa Hari Raya tidak pernah berkurang. Ia melambangkan semangat hari mulia itu.

Jika anda seorang pelancong asing di Malaysia semasa Hari Raya, anda perlu ingat bahawa seperti di semua negara Islam lain, tarikh tepat sambutan Hari Raya bergantung pada kemunculan anak bulan yang dilihat oleh pihak berkuasa agama tempatan.

Justeru tarikhnya hanya ditentukan pada saat-saat akhir.

Namun, apa yang pasti, jika anda bernasib baik dijemput ke mana-mana rumah terbuka Hari Raya, anda akan berasa seronok dengan kepelbagaian juadah dan makanan yang disajikan.

Tuan rumah anda pula, dengan wajah puas, akan mengucapkan “Selamat Hari Raya” kepada semua orang.