‘Perayaan lebaran ketupat’, mesej raya Maszlee

Menjelang kehadiran Hari Lebaran tahun 2019, Free Malaysia Today telah menyenaraikan 10 video yang tidak harus terlepas dari tontonan kita. Banyak video menarik dihasilkan seperti tahun-tahun lalu.

Malah, ramai daripada kita menanti kehadiran video menarik yang boleh mengisi sambutan Aidilfitri kali ini.

Satu lagi yang ingin dikongsi klip video (https://www.youtube.com/watch?v=w6H5lC3FrDA&feature=youtu.be) yang bertemakan “ketupat dan Aidilfitri” yang dihasilkan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.

Video ini membawa mesej yang ringkas tetapi mempunyai pengertian yang mendalam, iaitu kita tidak harus mengabai atau melupakan nilai-nilai murni asas kehdiupan sementara kita mengejar kehendak peredaran zaman.

Dalam video berdurasi 3 minit ini, Maszlee berkata, “setiap kali melihat ketupat, saya akan terkenangkan cerita orang-orang tua tentang makna dan falsafah besar di sebalik hidangan ini.”

“Anyaman untuk kelongsong ketupat ini sendiri mempunyai pengertian indah, menggambarkan bagaimana kita memiliki ketinggian budi dan ilmu yang sudah lama.

“Bila saya sebutkan ‘lama’ ia, ketupat telah menempuh hayat yang memang ‘lama’. Ini kerana secara sejarahnya, ketupat pernah menjadi makanan istimewa semasa kerajaan Srivijaya dan Majapahit sebelum diguna pakai kerajaan Demak sebagai juadah khas.

“Walisongo yakni Sunan Kalijaga, kata mantan ahli akademik Universiti Islam Malaysia ini, telah memanfaatkan budaya kaum tani pulau Jawa lantas mempakej semula ketupat sebagai makanan khas umat Islam pula.

“Jadi ketupat diraikan sebagai hidangan agama Buddha, Hindu, dan setelah itu Islam.

“Waktu inilah ketupat dipersembahkan ketika ‘perayaan lebaran ketupat’, iaitu perayaan pada tarikh 8 Syawal atau hari ke-8 Aidilfitri, di mana penganut Islam berpuasa sunat 6 hari pada bulan Syawal.

Sebagaimana disebutkan oleh Maszlee dalam video tersebut, tidak lengkap orang Melayu membuat sesuatu tanpa falsafah.

Ketupat bermakna “kupat” atau mengaku bersalah atau dalam lain perkataan “bertaubat”.

“Itulah puncanya ketupat dikaitkan dengan hari fitrah atau hari raya selepas sebulan berpuasa.”

Proses menganyam pula memerlukan sifat sabar dan tekun di mana proses itu mendidik kita untuk sentiasa berpegang kepada 2 sifat ini.

“Menyiapkan ketupat membawa makna besar dalam tradisi kita,” kata beliau lagi.

Maszlee merumuskan bahawa ketupat adalah sebuah simbolik untuk sentiasa menjaga kebersihan hati dan nurani.

“Ia bermakna mahu mencapai kebersihan dalam hati dan nurani”.

Tahukah anda ketupat itu dimaknai dengan lambang 4 arah mata angin utama, iaitu timur, barat, selatan, dan utara.”

Justeru katanya, “apa pun arah seseorang itu, ia akan tetap berhalakan kiblat, dan tuntutan berakhlak baik, antara lain saling memaafkan.

“Bagi rakyat Malaysia ketupat sebenarnya sudah menjadi sebahagian daripada hidangan yang dijamah semasa majlis rumah terbuka Aidilfitri.

Malah, pada hari-hari biasa, ia juga sudah diterima sebagai hidang sampingan apabila kita menikmati sate. Jadi ia bukan sesuatu yang ganjil.

“Ketupat” juga secara langsung dan tidak langsung merupakan komponen hidup rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama serta budaya.

Walaupun ketupat mempunyai nilai dan pengertian tersendiri dari sudut Aidilfitri, bagi rakyat Malaysia pengisian dan pembikinan ketupat membawa makna tersendiri – keutuhan dan kesepaduan dalam membangunkan negara bangsa.

Sifat sabar dan ketekunan dalam melahirkan masyarakat yang bersatu hati dan bersatu padu memerlukan komitmen dan kesungguhan bersama yang berpanjangan. Ia memerlukan perjalanan jauh.

Semoga Aidilfitri menjadi ikatan kita.

Tagline dibawa Maszlee, “kegembiraan, kasih sayang dan saling menghormati” sininom dengan ketupat.

Selamat Hari Raya, maaf, zahir dan batin.

Adam Fazery merupakan pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.