Raya di ‘Rumah Orang Tua’ bukanlah perkara sedih, syukur dengan kesihatan diberikan

Menyambut Syawal berseorangan tanpa keluarga tersayang sememangnya pilu dan sangat terkesan dalam sanubari setiap insan.

Namun ia sebaliknya berlaku kepada seorang warga emas, Jabar Abdul Rahman, 69 apabila beliau pasrah dan redha dengan takdir serta ketentuan ditetapkan beraya tanpa sanak saudara apatah lagi isteri atau anak.

Ketika ditemubual FMT, tiada langsung kesedihan yang terpancar di wajahnya meskipun hidup di dunia tanpa keluarga seperti insan lain.

Jaabar dilihat lebih cekal menghabiskan masa dengan mencari jalan keredhaan agar menjadi lebih baik sekaligus mendekatkan diri dengan tuhan.

“Saya menjadi pelaut hampir 50 tahun, kemudian saya berkahwin dan jodoh saya tak panjang, tiada anak, jadi saya pulang ke Pahang sendiri.

“Duduk seorang, pun tak selesai masalah, jadi saya sendiri yang memohon untuk masuk ke rumah orang tua, sampai ke hari ini,” katanya.

Menceritakan kisahnya, Jaabar melayari kehidupan kini serba serbi diuruskan pihak rumah orang tua Sri Kenangan tanpa menerima kunjungan lawatan daripada mana-mana pihak.

Kehidupannya berbeza, tidak mempunyai ayah dan bonda, isteri dan anak-anak, hubungan saudara yang sudah lama terputus.

Yang tinggal hanyalah kenalan di rumah orang tua yang sama sahaja.

“Mungkin saya dah biasa dengan kehidupan macam ni, seorang diri, duduk tak menentu, raya dekat laut, jarang sekali balik ke darat.

“Saya rasa Allah dah tetapkan hidup saya seperti ini, datang ke sini dan sembah kembali kepada Nya sebelum terlambat.

“Lagipun saya fikir, anak bini tak ada, kalau saya mati siapa nak uruskan saya?” soalnya.

Katanya keutamaan buat dirinya kini adalah mendekatkan diri dengan tuhan berbanding memikirkan soal hari raya Aidilfitri ingin disambut bersama siapa.

“Tahun ini Syawal yang kedua buat saya di sini, dengan kawan-kawan yang ada, ini lah keluarga saya, saya tiada hubungan kekeluargaan yang lain.

“Saya terima dengan redha, saya perlu kuat dan saya perlu pasrah jika begini pengakhirannya buat saya, sekurang-kurangnya ada yang boleh menguruskan saya hingga akhir hayat,” luahnya.

Segala kelengkapan hari raya jelas Jabar diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

“Pakaian raya mereka yang bagi, dah siap ambil ukuran nanti tinggal diberi sahaja kepada saya, warna pun kita yang pilih, apa lagi saya nak?” katanya sambil ketawa.

Menceritakan sewaktu menyambut Ramadan, rutinnya sama seperti orang lain, Jabar bangun seawal pagi untuk solat sunat dan bersahur, menghabiskan masa dengan bahan bacaan ilmiah dan sujud kepada Nya bagi menebus dosa silam.

“Saya di sini memang ingin mencari ketenangan, selama saya bekerja sebagai pelaut kehidupan saya memang terabai, jadi saya rasa ini perancangan yang terbaik untuk saya menghabiskan sisa hidup yang ada.

“Siapa tak sedih keluarga tak ada, semua akan merasa tapi saya tak akan kemana pun kalau saya sentiasa fikir pada benda yang sama,” ujarnya lagi.

Untungnya, dia memiliki tubuh badan yang sihat tanpa sakit yang kritikal, membolehkan dirinya bergerak cergas di rumah orang tua tersebut.

Malah Jabar juga sentiasa mengikuti perkembagan semasa dalam dan luar negara menggunakan komputer miliknya sendiri.

“Saya bekerja di laut dulu 1 dunia dah pergi, macam-macam saya dah nampak, jadi saya dah biasa mengikuti perkembangan dunia melalui komputer saya sendiri.

“Bila dikurniakan tubuh badan yang masih aktif, saya rasa bertuah kerana saya masih boleh buat perkara yang saya nak, ada yang lain terlantar tak boleh bangun, itu lagi teruk saya fikir.

“Jadi walaupun saya tak ada keluarga, saya masih beruntung kan?” katanya sambil tersenyum tanda bersyukur dengan pemberian Allah.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]