Transgender sukar temui maaf keluarga hatta pada Hari Raya

Nisha Ayub (belakang, kanan) bersama keluarganya sempena Hari Raya tahun lepas.

PETALING JAYA: Bagi ramai transgender beragama Islam, pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya mungkin menakutkan, terutama sekali jika mereka disuruh keluar oleh keluarga sendiri sebelum itu.

Begitulah pengalaman aktivis transgender Nisha Ayub.

Transgender merujuk kepada individu yang identiti dirinya berlainan dengan jantina mereka sejak lahir.

Sesetengah mereka bergelut dengan identiti itu sepanjang hidup, sementara sebilangan lain beralih secara beransur-ansur kepada jantina sebaliknya, biasanya dengan bantuan sains perubatan.

Bercakap kepada FMT, Nisha berkata, beliau disuruh keluar dari rumah keluarga di Melaka pada awal tempoh perubahan yang dilaluinya. Beliau baru berusia 18 tahun ketika itu. Nisha tidak berani balik ke rumah sempena Hari Raya.

Pada akhir Ramadan, orang Islam biasanya pulang ke rumah keluarga masing-masing untuk menyambut Hari Raya bersama-sama keluarga tersayang. Di Malaysia, ini dikenali sebagai acara “balik kampung”.

Balik kampung merupakan tradisi penting bagi ramai orang. Tidak dibenarkan “balik kampung” merupakan pengalaman yang menyukarkan.

Hari Raya biasanya merupakan saat kaum keluarga dan sahabat handai memohon kemaafan antara satu sama lain. Ucapan “maaf zahir dan batin” meniti dari bibir ke bibir pada tempoh itu sebagai lambang semangat kemaafan tersebut.

Nisha Ayub membesar dalam dengan sanak-saudara beragama Islam dan Kristian, yang memarahinya kerana menjadi seorang transgender.

Namun kemaafan sering tidak menyambut Nisha. Beliau tidak pulang ke kampungnya di Melaka untuk menyambut Hari Raya selama 2 tahun.

Ibunya dilahirkan dalam keluarga Kristian, tetapi memeluk agama Islam apabila berkahwin dengan bapanya. Jadi Nisha membesar dengan sanak-saudara yang beragama Kristian dan Islam.

Kedua-dua belah keluarganya memarahi beliau kerana menjadi seorang transgender.

“Keluarga sebelah ibu selalu memberitahu saya supaya tidak memalukan keluarga. Keluarga bapa akan gunakan agama untuk menyebabkan saya rasa bersalah. Saya berasa tidak diterima oleh kedua-dua agama. Mereka menolak saya. Saya berasa tidak menjadi anggota mana-mana keluarga.”

Bagaimanapun katanya, beliau tidak pernah menyalahkan mereka kerana tidak memahami proses perubahan yang berlaku kepada dirinya.

“Mereka fikir jika anda seorang transgender, maka hidup anda akan berakhir di jalanan, tanpa pekerjaan yang munasabah,” katanya. “Tapi saya tunjukkan bahawa mereka salah.”

Bapanya meninggal dunia semasa beliau masih muda. Justeru ibunya menjadi pemutus tentang apakah yang benar dan salah di rumah mereka.

“Ibu tidak menerima keputusan saya untuk “berubah”. Saya terpaksa keluar rumah, namun kami masih berhubung.”

Selama 2 tahun, beliau menyambut Hari Raya bersama komuniti transgender. Mereka sama-sama terbuang. Sesetengahnya tinggal berjauhan dari keluarga masing-masing sejak bertahun-tahun, kata beliau.

Mereka tidak berani berdepan kemarahan sanak-saudara sekiranya pulang ke rumah.

Ketika berusia 21 tahun dan telah benar-benar beralih menjadi seorang wanita, beliau akhirnya mendapat keberanian untuk berdepan dengan ibu dan adik-beradiknya.

Bagaimanapun Nisha melewatkan kunjungannya bagi mengelak saudara-mara yang biasa berkumpul di rumah ibu beliau pada hari-hari awal Hari Raya.

Apabila akhirnya beliau tiba di rumah ibunya, beliau berasa janggal dan tidak selesa mengenai pakai dan tingkah-lakunya di depan keluarga.

Beliau cuba untuk tidak kelihatan terlalu kewanitaan dengan memakai pakaian yang lebih neutral gender atau longgar, bagi menyembunyikan bentuk tubuhnya.

Bagi sesetengah rakan transgender yang pulang ke rumah, ada yang memakai bengkung bagi menyembunyikan payu dara mereka. Nisha tidak berbuat begitu.

“Saya perhatikan, keluarga dekat saya lebih bimbang tentang pandangan bapa saudara atau sepupu dan keluarga luas kami. Ia waktu yang sukar bagi kami.”

Beliau mengambil masa 10 tahun untuk berasa selesa menjadi dirinya sendiri ketika bersama-sama keluarga. Nisha dapat mengatasi rasa gementar dalam dirinya hanya selepas mendapat kerjaya sebagai seorang aktivis transgender yang menerima anugerah.

Pekerjaan, kestabilan dan kemandirian yang datang bersamanya memberikan beliau kemampuan untuk berdepan dengan keluarga yang tidak senang dengan keadaan dirinya sekarang.

Nisha, kini 40, tertunggu-tunggu untuk balik kampung untuk Hari Raya. Beliau berasa gembira ketika bersama keluarga, yang kini semakin menerima dirinya.

John (bukan nama sebenar), 48, seorang trans-lelaki beragama Islam menyambut Hari Raya bersama-sama isteri dan keluarga mertuanya.

Isteri beliau menerima latar belakang wanitanya, tetapi menyembunyikan sejarah peralihan suaminya menjadi seorang lelaki daripada keluarganya.

John memberitahu FMT bahawa beliau mahu juga memberitahu keluarga mertuanya tentang perkara sebenar tetapi bimbangkan reaksi mereka.

Katanya beliau berasa tidak selesa dalam tubuh perempuannya sejak berusia 5 tahun.

Beliau memutuskan untuk mula “beralih” ketika berusia 30-an dan menjalani pembedahan menukar jantina yang mengambil tempoh 5 tahun.

Dilahirkan dalam keluarga beragama Buddha, beliau memeluk agama Islam pada masa yang hampir sama dengan saat beliau menjalani pembedahan itu.

Sesetengah orang yang berada di kedudukannya mungkin akan memilih untuk meninggalkan agama Islam berikutan diskriminasi yang dihadapi dalam masyarakat itu, namun beliau berasa tenteram dengan agama itu. Baginya Islam sama sekali tidak menolak transgenderisme.

John menghabiskan masa bertahun-tahun mengkaji teks Islam dan mendakwa banyak hadis berhubung perkara itu dipetik diluar konteks.

“Malah terdapat istilah khas untuk golongan transgender, iaitu ‘mukhannathun’ dan mereka diterima dalam masyarakat Islam pada masa itu,” katanya.

Selepas perubahan dirinya, beliau berasa gementar untuk bertemu keluarga luasnya yang kali terakhir melihatnya sebagai seorang wanita.

“Mereka penganut Islam dan Kristian yang kuat, jadi saya berasa takut terhadap reaksi mereka,” katanya. “Tetapi mereka tidak terperanjat.”

Beliau terkejut dan pada masa sama bersyukur. Namun ramai yang lain tidak berpeluang menikmati pengalaman yang sama, katanya.

“Saya kini berasa lebih yakin dan selesa dengan diri saya sebagai seorang manusia.”

Walaupun setelah menempuh perjalanan yang panjang dan berliku Nisha, John dan ramai lagi dalam kalangan komuniti transgender masih menemui keberanian untuk menyampaikan sikap positif itu pada musim perayaan seperti sekarang.

Pesanan mereka kepada individu transgender yang melalui proses sukar yang sama ialah “apabila anda menerima diri anda sepenuhnya, keluarga anda akan menyokong, ia hanya memerlukan sedikit masa – jadi jangan putus harapan.

Lambat laun anda akan dapat balik kampung sekali lagi.