Anwar: Beri Dr M masa jelas pelantikan SPRM kepada majlis PH

Anwar Ibrahim bersama-sama Dr Mahathir Mohamad pada majlis Hari Raya dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata semalam perdana menteri perlu diberi ruang dan masa untuk menjelaskan kepada majlis presiden Pakatan Harapan (PH) berhubung pelantikan peguam Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, ini kerana pelantikan Latheefa tidak melalui proses pengesahan oleh jawatankuasa Parlimen seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum 2018.

Anwar berkata, walaupun beliau menyokong keputusan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melantik Latheefa, namun penjelasan perlu dibuat bagi menjawab tanggapan bahawa kerajaan mengingkari komitmen yang dibuat dalam manifesto itu, malah dilihat mengabaikannya.

“Saya rasa penjelasan perlu diberikan kepada orang ramai berhubung isu itu. Mengapa manifesto tidak diberi perhatian, tidak dihormati, walaupun saya percaya Latheefa mempunyai kelayakan yang diperlukan,” katanya.

“Kita aan pastikan SPRM kekal bebas dan mereka yang diberikan tanggungjawab itu (mengetuainya) dilihat profesional, serta tidak diseret dalam kancah politik atau berpuak. Ini adalah kebimbangan yang disuarakan.

“Tetapi oleh sebab PM telah buat keputusan, kita perlu menyokong dan mendengar penjelasannya dalam forum yang betul, iaitu dalam Kabinet atau majlis presiden PH,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Mertajam semalam.

Anwar berkata, peletakan jawatan Latheefa daripada PKR telah diterima dan melalui proses pembatalan keahlian beliau.

Beliau berkata demikian apabila ditanya kenapakah setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mendakwa beliau belum menerima surat peletakan jawatan Latheefa.

“Pada masa setiausaha agung periksa, tidak ada. Tetapi kemudian kami terima melalui e-mel.

“Saya fikir kontroversinya ialah meletak jawatan selepas dilantik, bagaimanapun kami sahkan beliau bukan lagi ahli PKR.”

Saifuddin menjelaskan semalam bahawa kakitangannya menemui e-mel bertarikh 3 Jun daripada Latheefa mengenai peletakan jawatan sebagai ahli parti yang dialamatkan kepada Anwar.

“Oleh sebab Anwar baru balik dari Arab Saudi kerana menunaikan umrah, beliau tidak baca e-mel itu,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Mahathir mengesahkan bahawa keputusan melantik Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM adalah keputusannya dan beliau tidak berunding dengan anggota Kabinet.

Latheefa, seorang peguam hak asasi, menggantikan Mohd Shukri Abdull yang dibenarkan menamatkan kontraknya lebih awal daripada tarikh sepatutnya pada 17 Mei 2020. Sebelum itu, Shukri memberitahu perdana menteri bahawa beliau mahu berundur selepas setahun berkhidmat.