Jangan membawang di rumah terbuka raya!

Tibanya bulan Syawal sudah pasti banyak jemputan rumah terbuka dibuat oleh kenalan dan keluarga.

Dalam hal ini beberapa aspek perlu diambilkira bagi menjaga adab ketika bertandang ke rumah orang.

Bukan sahaja adab, malah beberapa perkara perlu juga difikirkan seperti pemilihan masa yang sesuai untuk pergi ke rumah orang.

Berikut tips supaya anda tidak terlepas pandang dan jangan biarkan netizen mengata tentang diri anda!

1. Pilih masa yang sesuai

Anda perlu memahami perasaan tuan rumah. Janganlah sampai melepak di rumah orang sehingga 2 hingga 3 jam. Mereka juga ada tetamu lain untuk dilayan dan mencari masa untuk berehat.

Dan janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari mahupun larut malam kerana kebiasaan pada waktu itu tuan rumah hendak berehat.

2. Adab bersalaman dengan tuan rumah

Dah sampai di rumah yang kita tujui, jangan lupa adab bersalam-salaman dan berjabat tangan dengan tuan rumah.

Pergaulan bebas serta percampuran secara melampau antara lelaki dan perempuan boleh mengundang niat acara yang asalnya untuk mendapat rahmat Allah SWT bertukar menjadi majlis yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

3. Jangan makan gelojoh di rumah terbuka

Sebagai tetamu, seboleh-bolehnya kita menjaga adab terutama ketika mengambil juadah yang dihidangkan di atas meja.

Cuba elakkan makan dengan tamak dan gelojoh di rumah terbuka dan nikmati juadah secara bersederhana.

Janganlah pula kita habiskan semua makanan yang disediakan tuan rumah tau! Nanti tak dapat pula tetamu lain nak merasai air tangan tuan rumah.

Ingat, pergi ke meja makan setelah dijemput tuan rumah. Jangan tebal muka makan tanpa dijemput.

Menjaga adab bertamu penting agar tidak tercemar dan dapat menjaga imej kita sebagai tetamu serta disenangi oleh tuan rumah.

4. Jangan “membawang”!

Elakkan dari menjadikan rumah terbuka sebagai tempat untuk mengumpat mengenai keburukkan orang lain.

Selepas pulang dari rumah terbuka pula janganlah membanding-bandingkan kelebihan dan kekurangan di setiap rumah yang dikunjungi.

Sama ada dari segi layanan, kemewahan, perhiasan atau makanan yang dihidangkan.

Namun sebagai tetamu, kita haruslah bersyukur dengan apa yang tuan rumah sediakan.

Manfaatkan sebaik-baiknya hari mulia dengan bercakap perkara yang baik tanpa berprasangka buruk terhadap orang lain.

5. Menjaga pemakaian dan aurat

Pakailah busana yang bersesuaian dan selesa dan elakkan dari memakai pakaian yang tidak menutup aurat, menjolok mata sehingga mengundang perasaan tidak selesa kepada tuan rumah dan para tetamu lain.

Janganlah pula pakai baju yang terlalu ketat, koyak atau T-shirt biasa. Begitu juga dengan seluar. Jangan pula pakai seluar pendek atau terkoyak sana sini.

Semua adab ni amat penting bagi kita sebagai tetamu untuk meraikan Syawal dan memenuhi jemputan open house.

Elakkan dari melakukan perkara-perkara ini untuk mewujudkan suasana harmoni di hari raya anda nanti.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]