Pelantikan Latheefa ikut prosedur, kata Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesurujaya SPRM adalah baik, tetapi berharap ia dibincangkan dulu bersama pimpinan PH.

MUAR: Pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru tidak wajar dipersoalkan mana-mana pihak kerana ia mengikut prosedur yang betul.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, prosedur itu termasuklah dari segi perlembagaan dan kuasa eksekutif.

“Benda itu (prosedur) semuanya betul. Cuma yang berbangkit sekarang ini ialah soal politik. Orang persoalkannya dan politik pula mengikut tafsiran masing-masing,” kata beliau kepada media sebagai mengulas isu itu pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Orang Ramai Felda Sri Ledang, Pagoh di sini, hari ini.

Biarpun pelantikan itu dilihat sebagai satu langkah yang baik, Muhyiddin bagaimanapun berharap akan ada perbincangan diadakan terlebih dahulu bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) pada masa hadapan bagi memastikan golongan ini memahami sebab pelantikan.

“Ini supaya ia selari dengan apa yang kita kemukakan dalam manifesto,” katanya.

Pelantikan Latheefa yang diumum pada 3 hari lepas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong akan berkuat kuasa mulai 1 Jun selama 2 tahun.

Beliau menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memohon untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan beliau sebagai ketua pesuruhaya suruhanjaya terbabit.

Berhubung isu Op Selamat sempena Aidilfitri pula, Muhyiddin berkata, beliau diberitahu setakat ini, kira-kira 13,000 kes kemalangan dilaporkan sepanjang operasi.

Ini menampakkan seolah-olah operasi dan kempen keselamatan jalan raya yang dijalankan tidak mendatangkan kesan mendalam bagi mengurangkan kadar kemalangan.

“Kemalangan masih berlaku, mungkin kerana nak cepat balik, sampai ke destinasi dan kampung, tetapi apapun, ini suatu perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh pengguna jalan raya,” katanya.