Penganalisis jangka penyokong Dr M, Anwar semakin banyak bertelagah

Dr Mahathir Mohamad berkali-kali memberi jaminan beliau akan memberi laluan kepada Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri walaupun tempohnya tidak ditetapkan.

PETALING JAYA: Penganalisis politik mengingatkan perang mulut antara penyokong Dr Mahathir Mohamad dengan mereka yang berpihak kepada bakal pengganti beliau, Anwar Ibrahim akan menjadi semakin sengit berikutan pertelagahan terbuka antara kedua-dua belah pihak.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia dan Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia juga berkata, pertelagahan yang berlaku sekarang menggambarkan perebutan kuasa antara 2 pemimpin itu.

Mereka memberi komen mengenai kenyataan terbaru setiausaha politik Mahathir, Mohd Zahid Md Arip, yang dalam satu sindiran kepada Anwar, meminta presiden PKR itu mengawal penyokong beliau yang didakwa menekan perdana menteri supaya memberi laluan kepadanya.

Zahid yang direkodkan dalam satu klip video di Youtube berkata demikian apabila diminta memberi komen mengenai dakwaan pemimpin PKR Johari Abdul bahawa masalah yang berlaku di Kedah akan selesai sebaik sahaja Anwar mengambil alih sebagai perdana menteri.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu juga berkata, masalah di negeri itu dapat diatasi dalam masa 4 hingga 5 bulan akan datang.

Dalam perjanjian Pakatan Harapan (PH) yang dibuat sebelum pilihan raya umum lepas, Mahathir akan melepaskan kuasa kepada Anwar selepas satu tempoh yang tidak ditetapkan.

Bagaimanapun Azmi berkata, jelas bahawa proses penyerahan kuasa itu “semakin terlepas daripada Anwar”.

“Kedua-dua kem saling membuka cerita secara terbuka,” katanya dengan menambah bahawa kenyataan Johari menampakkan betapa serius isu tersebut.

“Pada asasnya ia merupakan teguran terbuka terhadap Mukhriz yang dilihat tidak cekap mentadbir negeri itu,” katanya.

“Ini adalah teguran terbuka terhadap Mahathir dan PPBM.”

Beliau juga mengingatkan bahawa pertelagahan sedemikian boleh memberi kesan ke atas kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan, yang kini berdepan tekanan hebat supaya mentadbir dengan berkesan.

Dalam pada itu Kamarul berkata, beliau menjangka perebutan kuasa yang berlaku akan menjadi semakin sengit.

“Johari mengambil langkah berani dengan secara tidak langsung meramalkan pengambilalihan kuasa akan berlaku dalam masa 6 bulan lagi,” katanya.

“Lebih buruk, pemimpin PKR kini mula mengkritik Mahathir berhubung pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Seolah-olah amaran Zahid tidak dipandang serius oleh penyokong Anwar.”

Mahathir beberapa kali memberi jaminan bahawa beliau akan menunaikan janjinya dan menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Bagaimanapun baru-baru ini, ahli Parlimen Kapar mewakili PKR Abdullah Sani Abdul Hamid mendesak Mahathir supaya menetapkan dengan jelas bilakah beliau akan memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Abdullah berkata, tidak memadai jika Mahathir sekadar berkata bahawa beliau akan menyerahkan kuasa kepada Anwar “tanpa menjelaskan tempoh waktunya”.